Kuih jongkong juadah tradisi Ramadan

PONTIAN – Kuih jongkong dengan tekstur lembut, berlemak santan dan inti gula Melaka antara kuih tradisional yang kini semakin sukar ditemui di daerah ini.
Bagi memastikan warisan rasa itu terus terpelihara, Kasdi Yuhasni Syafir, 57, tetap mempertahankan pembuatan kuih jongkong khususnya sepanjang Ramadan dengan membuka gerai di Bazar Ramadan Stadium Mini di sini.
Kasdi yang telah 35 tahun mengusahakan perniagaan kuih-muih tradisional secara kecil-kecilan berkata, aspek kualiti sentiasa dititikberatkan agar pelanggan khususnya penduduk kampung dapat menikmati keenakan kuih tersebut.
Katanya, kuih jongkong dihasilkan sepenuhnya menggunakan kaedah tradisional mengikut cara orang lama.
“Bahan-bahan yang digunakan ialah tepung beras, air, gula Melaka, garam, santan, pewarna, daun pisang dan daun pandan.
"Tepung beras perlu dimasak bersama santan pekat dan proses ini mesti sentiasa dikacau bagi mengelak adunan hangit serta menjejaskan rasa.
“Selepas itu adunan dicampurkan dengan pewarna dan daun pandan sebelum ditambah gula Melaka serta santan. Akhir sekali, kuih akan dibungkus menggunakan daun pisang,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurutnya, proses mengukus mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit sebelum kuih boleh dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa.
Sepanjang Ramadan tahun ini, Kasdi turut menghasilkan kira-kira 80 biji kuih jongkong setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Selain itu, dia turut menyediakan pelbagai kuih dan manisan lain seperti putu bambu dan onde-onde yang turut menjadi tarikan pengunjung bazar.
Menurutnya, walaupun proses penyediaan kuih tradisional mengambil masa dan tenaga yang lebih berbanding kuih moden, kepuasan melihat pelanggan menikmati hasil air tangannya menjadi pendorong utama untuk terus bertahan.
Ringkasan AI
- Kuih jongkong adalah kuih tradisional dengan tekstur lembut dan inti gula Melaka
- Kasdi Yuhasni Syafir mempertahankan pembuatan kuih jongkong di Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian
- Proses pembuatan mengikuti kaedah tradisional dengan bahan utama tepung beras, santan, dan gula Melaka
- Adunan kuih perlu dikacau secara berterusan untuk mengelakkan hangit dan kemudian dibungkus dengan daun pisang
- Kasdi menghasilkan kira-kira 80 biji kuih jongkong setiap hari sepanjang Ramadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

