Pemuda Pas jadi 'mata dan telinga' bantu banteras judi

Nurul Amin
Nurul Amin
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah akan menjadi 'mata dan telinga' kepada kerajaan negeri untuk memantau aktiviti perjudian di premis kedai runcit dan kafe siber di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pihaknya akan menyalurkan maklumat dan menjadi pemudahcara untuk pihak berkuasa membanteras aktiviti judi khususnya nombor ekor yang dijual di kedai runcit secara tersembunyi.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi menyokong hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu membanteras judi selepas beliau mendedahkan terdapat segelintir kedai runcit menjual nombor ekor selain kafe siber yang menawarkan judi dalam talian.

"Ramai anak muda Kedah yang terlibat dengan kegiatan judi dalam talian atau nombor ekor yang dijual secara haram di kedai runcit.

"Oleh kerana harganya yang murah selain tidak mudah dikesan, mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan pelbagai cara," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi memberi amaran kepada pemilik kedai runcit yang berselindung menjual nombor ekor di premis tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya premis terbabit dikenal pasti terlibat dalam perjudian tersebut dan tidak akan teragak-agak menarik semula lesen perniagaan.

Mengulas lanjut, Nurul Amin berkata, aktiviti perjudian sangat mudah dilakukan di mana sahaja dan perlu dipantau secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Ia hanya merosakkan akhlak anak-anak muda dan tiada kebaikan.

"Usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak menyambung permohonan lesen premis perjudian sebelum ini adalah langkah tepat bagi mengurangkan masalah sosial masyarakat khususnya orang Melayu Islam," katanya lagi.

Menurutnya, aktiviti perjudian membawa pelbagai kerosakan akhlak dan moral selain membinasakan tamadun masyarakat.

"Ini bertepatan dengan ketegasan ALLAH SWT dalam ayat al-Quran, surah al-Maidiah ayat 90-91 yang menyebut, judi adalah najis dan kelakuan syaitan yang membawa kehancuran dan permusuhan kalangan masyarakat," ujarnya.