Sindiket pinjam wang godam Telegram mangsa

PDRM
PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Meminjam wang dengan menggunakan akaun Telegram yang telah digodam.

Itu modus operandi yang digunakan oleh sindiket meminjam wang melalui aplikasi Telegram yang kini giat 'memerangkap' mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani berkata, dalam tempoh September 2021 hingga bulan lalu, sebanyak 97 laporan polis telah diterima daripada individu yang akaun telegram mereka telah digodam.

"Siasatan mendapati, mangsa sebelum itu akan menerima mesej daripada kenalan di Facebook yang meminta menekan link akaun Telegram diberikan.

"Mangsa kemudian diminta untuk log masuk ke link tersebut namun menyedari akaun Telegramnya telah digodam apabila menerima pertanyaan daripada beberapa kenalan sama ada mangsa mahu meminjam wang," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Selain itu katanya, modus operandi lain ialah mangsa akan menerima mesej daripada suspek melalui WhatsApp yang menyamar sebagai rakan mangsa dan meminta masuk ke dalam kumpulan Telegram.

Ujarnya, mangsa kemudian menerima lima nombor digit kod dari Telegram dan diminta menghantar semula digit kod berkenaan kepada kenalannya.

"Selang beberapa minit mangsa mendapati akaun Telegramnya digodam," katanya

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, dalam tempoh Januari hingga Februari, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka dengan kerugian sebanyak RM16,050.

Aibee berkata, bagi tahun lalu, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka melibatkan jumlah kerugian RM98,100.

" Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, iaitu menipu dengan menyamar serta di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer atas kesalahan menggodam.

"Setakat ini polis telah mengenal pasti sebanyak 55 akaun pelbagai bank tempatan yang telah digunakan oleh sindiket tersebut yang dipercayai melibatkan sindiket yang beroperasi di luar negara," katanya.

Sehubungan itu katanya, masyarakat dinasihatkan berhati-hati apabila menerima apa-apa link serta tidak memberikan apa-apa nombor kod yang diterima melalui mesej di telefon kerana boleh menyebabkan akaun mereka digodam.