Kad Pendataan Kemanusiaan bantu hak imigran

Dari kiri: Hishamuddin; Musa dan Noorazman ketika melancarkan Kad Pendataan Kemanusiaan MHO di ibu negara, pada Jumaat
Dari kiri: Hishamuddin; Musa dan Noorazman ketika melancarkan Kad Pendataan Kemanusiaan MHO di ibu negara, pada Jumaat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melancarkan Kad Pendataan Kemanusiaan bagi membantu memperjuangkan hak kemanusiaan golongan tercicir yang tidak mempunyai dokumen.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, inisiatif berkenaan adalah usaha MHO secara dalaman bagi mengumpulkan data-data imigran dan individu tiada dokumen.

"Ini tiada kena mengena dengan pas atau dokumen identiti melibatkan kerajaan. Ini adalah inisiatif MHO secara dalaman untuk mengumpul data kumpulan-kumpulan imigran dan mereka yang tidak mempunyai kerakyatan sah bagi memperjuangkan isu-isu kemanusiaan selain nasihat guaman secara atas talian.

"Kita melihat ramai kalangan kumpulan imigran ini teraniaya dan tidak dibela daripada sudut hak undang-undang dan mereka tidak mempunyai akses terhadap pembelaan undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan; Pengerusi MHO Dr Noorazman Shamsuddin dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Tambah beliau, MHO bersedia membantu menyalurkan data dikumpulkan untuk dikongsi dengan mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan dalam usaha menyelesaikan isu-isu berbangkit melibatkan golongan tersebut.

Katanya, secara tidak langsung usaha itu juga akan membantu golongan imigran menguruskan sebarang pengeluaran dokumen sah di bawah program kerajaan.

"MHO mahu membantu semampu mungkin. MHO juga akan membantu mereka untuk menjadi fasilitator sekiranya mana-mana dokumen kerajaan keluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk daripada segi menyusun dokumentasi dengan bantuan panel-panel perundangan MHO bagi melicinkan permohonan mereka demi menjayakan usaha kerajaan," katanya.