PRN Johor: 17 kertas siasatan dibuka, 405 permit diluluskan

Sebanyak 17 kertas siasatan dibuka manakala 405 permit telah diluluskan di seluruh Johor sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula pada 26 Februari sehingga Rabu. - Gambar hiasan
Sebanyak 17 kertas siasatan dibuka manakala 405 permit telah diluluskan di seluruh Johor sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula pada 26 Februari sehingga Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 17 kertas siasatan dibuka manakala 405 permit telah diluluskan di seluruh Johor sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula pada 26 Februari sehingga Rabu.

Jurucakap media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak lima permit ditolak kerana tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti pemohon permit bukanlah ejen atau calon dilantik, ceramah perlu dibuat di bilik gerakan rasmi serta jumlah peserta ceramah yang melebihi 100 orang.

Beliau berkata pada Rabu sahaja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor telah meluluskan 36 permit dan membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954/Peraturan 16 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"PDRM Johor menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong sentiasa mengikuti segala SOP pencegahan Covid-19 dan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dalam tempoh berkempen.

"Sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang sedia ada,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis. - Bernama

Artikel Berkaitan: