Lokman Adam nafi fitnah Khairy, hanya mahu penjelasan isu vaksin

Lokman - Foto Bernama
Lokman - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Lokman Noor Adam menafikan beliau memfitnah Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu vaksin Covid-19, sebaliknya meminta Menteri Kesihatan itu memberi penjelasan kepada masyarakat berkaitan perkara berkenaan kerana ia merupakan kepentingan awam.

Lokman, 49, menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada Rabu (2 Mac) mendakwa, beliau bukanlah seorang antivaksin dan pernyataan-pernyataan yang dikeluarkannya mempunyai justifikasi dan komen yang adil.

"Saya menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoalkan oleh plaintif (Khairy) bukanlah fitnah kerana ia hanya untuk menggesa beliau memberi penjelasan dan penerangan berkenaan isu viral yang mana terdapat rakaman video menunjukkan vaksin yang ingin diberikan kepada penerima vaksin telah tamat tempoh luput," dakwa Lokman menerusi pernyataan pembelaan itu bagi menjawab saman yang difailkan Khairy terhadapnya.

Lokman selaku defendan mendakwa beliau mempunyai tanggungjawab secara sosial dan moral untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan isu vaksin itu bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

Pada 25 Januari lepas, Khairy, 46, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Januari lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari.

Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Pada 3 Februari lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ex-parte oleh Khairy antaranya supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Februari, mahkamah itu juga membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!