Warisan nafi pecah undi, mahu jadi pembangkang efektif

Mohd Shafie ketika melakukan 'walk about' bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai di pasar malam di Johor Jaya, Johor Bahru, pada Rabu.
Mohd Shafie ketika melakukan 'walk about' bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai di pasar malam di Johor Jaya, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Warisan (Warisan) menafikan dakwaan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan memberi sebarang makna kerana tidak akan mampu menubuhkan kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya menang, mereka akan menjadi blok pembangkang yang efektif terutama memainkan proses semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri nanti.

"Dengan enam kerusi ini, kita mahu menjadi suara pembangkang yang kuat untuk melakukan proses semak dan imbang di negeri ini. Sama seperti di Parlimen di mana kita hanya mempunyai lapan kerusi, jumlah sedikit tidak bermakna kita tiada suara.

"Ikut hati boleh sahaja kita bertanding di kesemua 56 kerusi DUN tetapi apa maknanya kerana kita masih sebuah parti baharu di semenanjung.

"Itu sebabnya kita bertanding di enam kerusi yang kita rasakan mempunyai ruang dan peluang untuk menang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program 'walk-about' di pasar malam Taman Johor Jaya, di sini pada Rabu.

Pada PRN Johor, Warisan akan bertanding di kerusi DUN Permas, Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya dan Bukit Batu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, keputusan terlibat dalam PRN Johor disifatkan sebagai pengenalan untuk parti itu kepada masyarakat Semenanjung bahawa mereka kini mempunyai satu pilihan alternatif baharu yang berjuang untuk semua kaum dan agama.

"Ahli dan penyokong kita bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Cina dan penyokong DAP, sebaliknya ramai di antara mereka sebelum ini merupakan penyokong kuat kepada MCA dan juga UMNO, tetapi kini semua bersatu di bawah Warisan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menafikan dakwaan Presiden DAP, Lim Guan Eng penyertaan Warisan dalam PRN Johor hanya sebagai pemecah undi DAP selain menyifatkan parti berkenaan sudah tidak lagi diterima masyarakat Cina.

Penolakan masyarakat katanya, terutama melibatkan komuniti Cina boleh dilihat apabila DAP tewas dalam PRN Sarawak dan PRN Melaka, tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul dakwaan kehadiran parti itu dalam PRN Johor hanya untuk memecah undi masyarakat Cina khususnya penyokong DAP.

"Sejak bila Johor ini dimiliki oleh DAP, pengundi di Johor ini bukan milik mana-mana parti, mereka bukan milik UMNO, bukan milik DAP, bukan milik Parti Keadilan Rakayat (PKR). Jika kita kata mereka miliki sesiapa itu bukan satu bentuk yang demokratik.

"Kita (Warisan) tidak ganggu Pakatan Harapan (PH) ketika dalam PRN Melaka dan Sarawak lalu, mereka tewas juga, maksudnya Warisan bukan penyebab pecah undi sehingga mereka tewas," katanya.

Tambahnya, menerusi dua PRN di negeri tersebut, Warisan memberi laluan kepada PH untuk bertanding tetapi pengundi tetap menolak mereka dan perkembangan itu mendorong Warisan bertanding sendirian dalam PRN Johor.