Tingkat pendapatan pengusaha nanas RM8,000 sebulan

Ronald ketika dalam Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) dilakukan secara turun padang pada Rabu.
Ronald ketika dalam Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) dilakukan secara turun padang pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memperuntukkan sebanyak RM137 juta melibatkan tujuh skop program pembangunan meliputi bantuan kepada pekebun kecil serta usahawan industri hiliran nanas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia selaras dengan hala tuju LPNM dalam memperkasakan pembangunan industri nanas negara serta meningkatkan purata pendapatan pengusaha nanas daripada RM5,000 sebulan kepada RM8,000 sebulan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),

"Tujuh program pembangunan yang dilaksanakan pada tahun 2022 termasuk Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi, Program Pengeluaran Benih Nanas, Program Pemodenan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas, Program Pemodenan dan Pemerkasaan Industri Nanas Berimpak Tinggi Sarawak.

"Selain itu, Program Penerokaan Akses Pasaran Industri Nanas Global, Program Pemerkasaan Fasiliti IAT Nanas (FIN) dan Program Pembangunan Industri Produk Nanas Berinovasi.

"LPNM menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar pada tahun 2025 berbanding 17,000 hektar pada tahun 2020," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ronald ketika dalam Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) dilakukan secara turun padang pada Rabu.
Ronald ketika dalam Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) dilakukan secara turun padang pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LPNM akan meningkatkan kadar peratusan tanaman nanas jenis MD2 daripada 15 peratus pada ketika ini kepada 50 peratus dalam sasaran keluasan bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta eksport.

Menurutnya, sektor industri nanas negara diunjurkan terus berkembang sebanyak lima peratus setahun dengan eksport nanas negara telah mengalami peningkatan ketara iaitu sebanyak RM641 juta pada tahun 2020 berbanding RM138 juta pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

"Melihat kepada keseluruhan industri nanas negara, negeri Johor merupakan negeri yang mempunyai keluasan penanaman nanas terbesar dan lestari di Malaysia.

"Pada tahun 2020, negeri Johor mencatatkan keluasan penanaman seluas 10,253 hektar iaitu 61 peratus daripada keseluruhan keluasan penanaman nanas negara iaitu 17,000 hektar diikuti dengan Negeri Sarawak dan Sabah," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak lebih daripada RM900 juta yang diolah sepanjang dua tahun lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Dana Jaminan Makanan (DJM) dengan terus.

Jelasnya, ia mengutamakan sektor agromakanan sekaligus membolehkan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 kembali pulih bagi meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

“Dana-dana khas telah diagihkan kepada Jabatan dan agensi termasuk LPNM serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Nelayan kawasan (PNK) bagi manfaat golongan petani, penternak, peladang dan nelayan serta pengusaha agromakanan di sepanjang rantaian nilai,” menurutnya.