Bekerjasama dengan kleptokrat umpama menunggang harimau: Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan kepada pengundi Johor bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO umpama ‘menunggang harimau akhirnya dibaham’.

Ini kerana, beliau sebelum ini pernah menasihati Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bahaya menantinya jika memilih untuk bersama ahli kleptokrat, namun tidak dihiraukan kerana didakwa mengejar jawatan Perdana Menteri.

“Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO seumpama menunggang harimau dan dia akan akhirnya dibaham.

“Apa yang kita jangka sudah terjadi. Tan Sri Muhyiddin dikhianati oleh UMNO, hilang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja,” katanya dalam surat ketiga beliau kepada pengundi Johor, pada Rabu.

Dalam surat itu juga, beliau memberitahu bahawa rakyat Johor sebenarnya telah berjaya menyekat kemaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tetapi malangnya, Dr Mahathir mendakwa, perbuatan Muhyiddin yang ingin menjadi Perdana Menteri, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Sebenarnya, kita semua termasuk pengundi Johor telah berjaya menyekat Najib daripada terus menyamun harta rakyat apabila dia, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditolak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Kejayaan ini memperlihat ramai pengundi Johor tidak dapat menerima UMNO yang menyokong seorang penyamun. Ia lebih bermakna di Johor kerana terdapat kuasa-kuasa bukan politik yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertahankan Najib dan UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Malangnya, kejayaan itu terbantut apabila Muhyiddin yang mahu menjadi Perdana Menteri, sanggup membelakangkan pengundi dan rakan dalam PH untuk mencapai cita-citanya,” dakwanya seperti ditulis dalam surat tersebut.

Mengulas lanjut ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, disebabkan Muhyiddin mengejar nafsu untuk menjadi Perdana Menteri, beliau dan beberapa rakan yang berpegang kepada prinsip dan menolak kerjasama dengan UMNO telah disingkir.

Susulan daripada itu, beliau dan rakan-rakan menubuhkan Parti Pejuang kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah pimpinan Muhyiddin sudah tidak lagi berpegang dan mempertahankan perjuangan Bersatu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, jika semua pihak yang tolak kleptokrasi memberi sokongan kepada Pejuang, maka kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dapat dikembalikan semula.

“Kleptokrat sekarang berkuasa menukar kerajaan sesuka hati mereka. Nasib rakyat tidak dihirau oleh mereka. Agak terlewat bagi Muhyiddin melawan UMNO. Terpulanglah kepada parti lain menolak kleptokrat,” katanya.