PN tubuh jawatankuasa khas pantau ikrar jika menang PRN Johor

Muhyiddin (depan, tengah) ketika sidang media di Majlis Pelancaran Ikrar PN di Johor Bahru pada Rabu.
Muhyiddin (depan, tengah) ketika sidang media di Majlis Pelancaran Ikrar PN di Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan Ikrar PN Demi Bangsa Johor sekiranya memenangi pilihan raya negeri itu pada 12 Mac ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan jawatankuasa terlibat menunjukkan komitmen pihaknya dalam menunaikan segala tawaran dalam ikrar tersebut yang juga manifesto PN.

"PN tidak mahu berikrar dan tidak menunaikan apa yang dijanjikan. Semua ikrar itu perlu ditunaikan, tidak seperti sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang hanya menunaikan janji tertentu.

"Jawatankuasa itu akan dianggotai individu bebas dan profesional dari Johor.

"Mereka akan pantau setiap ikrar dan memastikan apa yang dijanjikan dilaksanakan dalam tempoh setahun atau dua tahun selepas memenangi PRN Johor," katanya ketika sidang media sempena Majlis Pelancaran Ikrar PN Demi Bangsa Johor pada Rabu.

Muhyiddin turut berharap pengundi di negeri ini dapat menerima ikrar PN yang menggariskan lapan tonggak utama, 24 strategi dan 144 pendekatan.

"Saya percaya kebanyakan ikrar dalam Ikrar PN Demi Bangsa Johor ini boleh ditunaikan dalam tempoh satu penggal," katanya.

Dalam pada itu, PN turut menyasarkan untuk memenangi lebih 28 kerusi DUN daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi di Johor.

Artikel Berkaitan:

“PN bertanding di 56 kerusi DUN sudah tentu kita mahu menang sebanyak mungkin. Sebab itu PN telah menamakan calon yang berkaliber untuk PRN Johor,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar daripada PN, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diumumkan apabila tiba masanya.

"PN akan membuat pengumuman kelak. Sudah tentu kerajaan negeri tidak boleh dibentuk tanpa Menteri Besar," katanya.