Lapan tunjang utama teras manifesto PN di Johor

Muhyiddin ketika membaca ikrar manifesto dalam Majlis Pelancaran Ikrar PN 'Demi Bangsa Johor' di sebuah hotel di Johor Bahru pada Rabu.
Muhyiddin ketika membaca ikrar manifesto dalam Majlis Pelancaran Ikrar PN 'Demi Bangsa Johor' di sebuah hotel di Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memfokuskan lapan tunjang utama merangkumi 24 strategi dan 144 pendekatan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran inklusif yang bertemakan 'Demi Bangsa Johor' itu bertujuan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Ujar beliau, lapan tunjang yang ditawarkan adalah kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

"Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan prihatin rakyat.

"Ikrar yang ditawarkan ini bukan retorik semata-mata.

"PN berikrar untuk terus menjunjung Prinsip Raja Berperlembagaan, mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri yang cekap, berintegriti dan bebas rasuah, mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat serta prihatin terhadap kebajikan rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Ikrar PN Demi Bangsa Johor pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendukung pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.

"Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ini merangkumi usaha-usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)," ujarnya.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya Pas merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.