Tingkatkan pengeluaran ayam, telur

Idrus (tiga dari kanan) mewakili PPANS menyerahkan memorandum berkenaan masalah dihadapi penternak kepada Ronald untuk perhatian MAFI.
Idrus (tiga dari kanan) mewakili PPANS menyerahkan memorandum berkenaan masalah dihadapi penternak kepada Ronald untuk perhatian MAFI.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memastikan industri pengeluaran ayam dan telur dalam negara dapat kembali kepada kapasiti maksimum tanpa perlu bergantung kepada bekalan import.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan memutuskan untuk menampung kos pengeluaran kepada penternak melibatkan subsidi sebanyak RM529 juta dalam tempoh empat bulan.

Menurutnya, langkah sementara tersebut diharapkan tidak berpanjangan dan MAFI yakin negara mempunyai keupayaan menyediakan bekalan mengikut permintaan pasaran.

“Sebenarnya kita tidak pernah mengimport ayam dan telur. Selama ini kita mampu mengeluarkan bekalan melalui kilang atau ladang ternakan yang ada dalam negara.

“Namun disebabkan beberapa faktor menyebabkan kapasiti pengeluaran dalam kalangan penternak tidak mencukupi. Sebab itu, pada minggu lalu kerajaan terpaksa mengeluarkan kelulusan permit bagi syarikat membawa masuk ayam sejuk beku dari negara luar untuk menampung keperluan negara,” ujarnya ketika mengulas isu kekurangan bekalan ayam dan telur dalam pasaran.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan di Ladang Ayam Penelur Selasih Aman Sdn Bhd dan Ladang Ayam Pedaging Id-Mar Broiler Sdn Bhd di sini, pada Isnin.

Ronald menjelaskan, Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import bagi makanan ternakan (dedak) dan peningkatan kos terhadap import tersebut memberi kesan kepada industri ternakan negara.

Artikel Berkaitan:

“Itulah yang berlaku ketika ini. Jika kita lihat harga kacang soya umpamanya naik daripada RM800 kepada RM1,700 bagi setiap tan metrik.

“Harga jagung juga meningkat lebih daripada 100 peratus yang memberi kesan secara langsung kepada industri ternakan negara,” ujar beliau.

Susulan itu katanya, untuk jangka masa panjang, pihak kementerian perlu mengolah satu dasar untuk menggalakkan makanan ternakan terutama melibatkan penanaman jagung.

“Perubahan-perubahan dasar ini perlu dikaji semula dan ditambah baik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan jagung dari negara luar.

“Untuk mengurangkan kos, sudah tentu kita perlu mengusahakan penanaman jagung bagi industri ternakan negara kita. Kita banyak import jagung dari Brazil dan Argentina. Kacang soya pula kita import dari beberapa negara lain," jelasnya.

Katanya lagi, MAFI mendengar keluhan termasuk beberapa isu yang dikemukakan pemain industri dan kementerian akan mengangkat masalah tersebut bagi kepentingan industri penternakan keseluruhannya.

“Antaranya keperluan mempercepatkan proses pinjaman daripada institusi kewangan yang menawarkan pinjaman dalam sektor agromakanan selain isu memohon kebenaran merancang yang perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Isu ini bukan hanya tertakluk kepada MAFI tetapi perlu dibincangkan bersama dengan kementerian lain terutama melibatkan kerajaan tempatan,” tambahnya.

Brian Lim (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada Ronald berkenaan operasi pengeluaran telur di Ladang Ayam Penelur Selasih Aman Sdn Bhd di Hulu Selangor, pada Isnin.
Brian Lim (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada Ronald berkenaan operasi pengeluaran telur di Ladang Ayam Penelur Selasih Aman Sdn Bhd di Hulu Selangor, pada Isnin.

Banyak masalah

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Idrus Zainal Abidin berkata, kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah dihadapi penternak bagi melancarkan pengeluaran supaya isu kekurangan bekalan ayam dan telur dalam pasaran tidak berpanjangan.

“Banyak masalah dihadapi penternak, antaranya dibebani kos permohonan kebenaran merancang selain baka serta makanan ternakan diterima tidak berkualiti,” katanya.

Menurutnya, persatuan itu meminta operasi ternakan disatukan di bawah lesen veterinar yang menguruskan segala aspek supaya penternak tidak mengalami gangguan dalam proses penghasilan makanan untuk negara.

“Kami menghadapi banyak masalah seperti perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memohon kebenaran merancang bangunan. Bagi setiap permohonan, bayaran adalah RM140,000 manakala pelan bangunan kosnya RM25,000.

“Sektor penternakan disamakan dengan pembangunan, jadi saya minta diasingkan. Apabila disamakan, kos tersebut tidak masuk akal dan kita tidak mampu untuk sediakan terutama bagi penternak kecil,” ujarnya.

Beliau berkata, disebabkan isu tersebut penternak hadapi kesukaran untuk membesarkan reban yang menjadi faktor kekurangan bekalan ayam pada masa kini.

“Kami minta urusan tersebut dipermudahkan. Biarlah kami ada satu lesen di bawah veterinar yang menguruskan segalanya. Kalau banyak cabang susah untuk kami bergerak. Syarat itu melibatkan kos,” tambahnya.

Pada masa sama, pihaknya berharap kerajaan mengatasi masalah anak ayam dan makanan ternakan tidak berkualiti dalam kalangan pengedar yang telah menjejaskan penghasilan ayam daging dalam pasaran.

“Baka dan makanan ayam tidak berkualiti menyebabkan ayam tidak membesar (tumbesaran terbantut) dengan berat kurang daripada dua kilogram.

“Kita tiada kuasa menegur pengeluar kerana sama-sama pemain industri dan yang boleh berbuat demikian hanya kerajaan,” jelasnya.

Permintaan tinggi

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selasih Aman Sdn Bhd, Brian Lim Jit Shen, tiada isu sorok bekalan atau tiada stok, sebaliknya permintaan tinggi dalam kalangan pengguna menyebabkan telur ayam di pasaran cepat habis.

Jelasnya, situasi tersebut kebiasaannya dihadapi pada musim perayaan.

“Contohnya, satu bulan sebelum perayaan permintaan telur akan meningkat untuk kegunaan buat kuih raya. Jadi pada masa itu mungkin hadapi masalah bekalan, bukan tidak ada barang cuma kuantiti bekalan tidak dapat ditambah,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak berdepan masalah menghantar bekalan kepada pelanggan.

“Kami berkemampuan bekalkan telur kepada semua pelanggan jadi tiada isu gangguan kekurangan bekalan kepada pelanggan.

“Setakat ini juga tiada gangguan operasi dan harapnya tiada pada masa akan datang. Kilang kami menghasilkan 550,000 hingga 600,000 biji telur sehari,” tambahnya.