Calon SPM positif Covid-19, kuarantin duduki SPM April ini

Mohd Radzi membuat tinjauan mengejut pada hari pertama peperiksaan SPM 2021 di SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, pada Rabu.
Mohd Radzi membuat tinjauan mengejut pada hari pertama peperiksaan SPM 2021 di SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, pada Rabu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang menjalani kuarantin dibenarkan menduduki peperiksaan itu dalam sidang kedua pada April ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, calon berkenaan hanya perlu memaklumkan kepada sekolah dan tidak perlu bimbang kerana mereka tetap diberi peluang menduduki SPM.

“Harus jelas. Sekiranya pelajar didapati positif, maka mereka perlu buat surat deklarasi kepada pengetua atau pihak sekolah menulis (surat) bahawa mereka positif.

“Pengetua akan sahkan sama ada benar murid itu positif atau tunjukkan bukti MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi MySejahtera serta surat kepada pengetua," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 di sini, pada Khamis.

Katanya, bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan pihak sekolah yang baru mendapat maklumat terdapat calon positif, pelajar berkenaan akan diletakkan dalam bilik khas disediakan di sekolah berkenaan.

“Bagi calon SPM yang menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin juga tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan. Bagaimanapun calon perlu mengemukakan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) seperti pelajar yang positif," katanya.

Dr Radzi memberitahu, seramai 407,097 pelajar menduduki SPM di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 50,317 calon menduduki SPM di Johor.

Sementara itu, beliau berkata, SPM 2021 berlangsung dalam skala lebih besar dan dilaksanakan dengan menggunakan hampir semua kelas di sekolah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh. Hampir semua kelas digunakan dan kami akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM berlangsung dengan teratur dan selamat," katanya.

Katanya, sementara itu calon-calon SPM di sekolah yang dilanda banjir seperti di Kelantan hingga mengakibatkan sekolah dan pusat peperiksaan ditutup serta tiada lokasi alternatif bersesuaian, juga akan menduduki peperiksaan tersebut pada sidang kedua April ini.