KPM umum cuti khas 19 April ini

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju memberikan cuti khas kepada guru dan murid pada 19 April ini menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemberian cuti itu diberikan bagi memudahkan pihak yang terbabit untuk membuat persiapan raya.

“KPM bersetuju untuk memberikan satu cuti khas tambahan pada 19 April 2023 untuk Kumpulan A dan Kumpulan B.

“Keputusan ini adalah memudahkan urusan guru dan ibu bapa terutama yang bertugas di negeri lain yang terpaksa merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri," katanya ketika sidang akhbar pelancaran Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti Kementerian Pendidikan Tahun 2023 di sini pada Selasa.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon KPM untuk memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, cuti khas itu dianggap keperluan dengan mengambil kira jangkaan bahawa 1 Syawal mungkin jatuh pada 21 April ini, iaitu awal sehari berbanding ketetapan asal.

"Pemberian cuti khas ini memberikan lebih ruang kepada guru dan rakyat Malaysia yang terpaksa merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Hal ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan lebih keselesaan kepada semua pihak," kata Aminuddin.