BP Healthcare suntik semangat MotoGP WithU Yamaha RNF

Pasukan MotoGP WithU Yamaha RNF - Foto Twitter
Pasukan MotoGP WithU Yamaha RNF - Foto Twitter
A
A
A

PENAMPILAN sulung pasukan MotoGP WithU Yamaha RNF di Qatar musim ini menjadi lebih bermakna apabila Kumpulan BP Healthcare memberikan tajaan dari segi aspek keselamatan dan kesihatan.

Pengasas dan Prinsipal MotoGP WithU Yamaha RNF, Datuk Razlan Razali berkata, pasukan berkenaan berkenaan gembira dengan penajaan berkenaan dan menyifatkan ia hadir tepat pada masanya apabila kes varian Omicron Covid-19 melonjak di seluruh dunia.

Malah menurutnya, lonjakan kes-kes berkenaan dikhuatiri akan memberikan kesan kepada menjelang perlumbaan pembukaan MotoGP musim ini yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar hujung minggu ini.

“Tempoh dua tahun kebelakangan ini amat mencabar untuk melakukan perjalanan kerana pandemik dan kami sentiasa fokus kepada keselamatan anggota pasukan dan pelumba kami.

“Oleh itu, saya sangat mengalu-alukan BP Healthcare, bukan hanya selaku rakan baharu dari Malaysia dan peneraju syarikat penjagaan kesihatan, tetapi juga mengetahui bahawa kami akan dijaga sebaik-baiknya semasa melakukan perjalanan pada musim 2022 ini.

“Mereka akan menyediakan sokongan dan penjagaan serta keperluan kesihatan diperlukan untuk melindungi pasukan ini yang bertanding di peringkat global sepanjang tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, kerjasama MotoGP WithU Yamaha RNF terima tajaan BP Healthcare menyaksikan anggota pasukan MotoGP itu akan menerima perkhidmatan kesihatan termasuk ujian PCR Covid-19 sepanjang berlumba di seluruh dunia melibatkan kit ujian air liur untuk ujian konsisten, pelitup muka untuk perlindungan dan saringan kesihatan sepanjang musim perlumbaan.

Kerjasama berkenaan bakal menyaksikan Logo BP Healthcare akan tertera pada lengan ayun jentera Andrea Dovizioso dan Darryn Binder, kotak pit serta trak pasukan sepanjang musim ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BP Healthcare Garvy Beh berkata, ia merasa gembira untuk bekerjasama dengan pasukan WithU Yamaha dalam perlumbaan MotoGP yang tersohor di dunia.

"Ini merupakan satu penghormatan selaku penaja ketiga dari Malaysia untuk menjadi rakan pasukan ini dalam acara MotoGP yang terkenal di seluruh dunia.

“Dengan pembukaan semula pelbagai industri dan acara antarabangsa seperti sukan dan perlumbaan motosikal, kami gembira untuk menyumbang perkhidmatan penjagaan kesihatan kami bagi memastikan keselamatan untuk setiap orang.

“Memandangkan sektor penjagaan kesihatan tidak mengenali sempadan, kami menyasarkan menyediakan produk dan perkhidmatan kepada seramai mungkin penduduk dunia dan perkongsian ini diharap menjadi platform luar biasa untuk meningkatkan kehadiran kami di peringkat antarabangsa selari dengan matlamat Kumpulan BP Healthcare dan Doctor2U,” katanya.