Sentiasa siap sedia hadapi banjir luar jangka

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Fakhrul Radzi, 18, melihat kasut sekolahnya yang diselaputi lumpur selepas rumahnya ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Padang Tersat.- Foto Bernama
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Fakhrul Radzi, 18, melihat kasut sekolahnya yang diselaputi lumpur selepas rumahnya ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Padang Tersat.- Foto Bernama
A
A
A

PENGHUJUNG tahun 2021, kita dikejutkan dengan banjir luar jangka yang melanda beberapa negeri terutama di Selangor, Pahang dan Johor.

Bukan sedikit harta benda yang mengalami kerosakan kerana menurut laporan Jabatan Perangkaan, bencana banjir yang melanda 11 negeri pada Disember tahun lalu merekodkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM6.1 bilion.

Daerah Petaling di Selangor mencatatkan nilai kerugian tertinggi dengan RM258 juta, diikuti Hulu Langat merekodkan nilai kerugian RM253.6 juta dan Klang sebanyak RM252.8 juta.

Lebih menyedihkan, 48 kematian turut direkodkan, manakala lima mangsa dilaporkan masih hilang dalam bencana banjir tersebut.

Bagi mengurangkan beban mangsa banjir, kerajaan mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion pada 29 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, belum selesai kerajaan mengagihkan bantuan kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir, negara sekali lagi dikejutkan dengan bencana banjir luar jangka yang melanda negeri-negeri di pantai timur.

Banjir kali ini disifatkan sebagai kejadian luar biasa kerana banjir biasanya berlaku hujung tahun tetapi sekali lagi berlaku pada Februari.

Kata penduduk, biasanya bulan Februari, musim tengkujuh sudah beransur pulih dan cuaca mula panas menjelang Mac, malah aktiviti ke laut juga sudah pulih seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Namun, hujan lebat berterusan telah menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan kembali dilanda banjir.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 17,742 penduduk di Terengganu terjejas akibat banjir dengan 141 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri itu.

Kemaman mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 8,027orang, diikuti Hulu Terengganu (3,700), Dungun (2,988), Besut (908), Setiu (848), Kuala Terengganu (728), Kuala Nerus (538) dan Marang (lima).

Kelantan pula merekodkan seramai 7,625 orang mangsa banjir daripada 2,491 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Machang dan Jeli.

Angka korban akibat banjir pula meningkat kepada empat orang iaitu masing-masing tiga di Kelantan dan satu di Terengganu. Boleh dikatakan banjir yang melanda beberapa negeri sejak penghujung tahun lalu hampir sama sifatnya.

Entah kenapa kawasan yang tidak pernah atau jarang-jarang sekali dinaiki air tiba-tiba dilanda banjir. Paras air yang naik pula bukan biasa-biasa kerana mampu mengancam nyawa.

Di Hulu Terengganu misalnya, banjir yang melanda daerah itu disifatkan sebagai paling serius berikutan beberapa kawasan yang terjejas sebelum ini tidak pernah dinaiki air.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, pihaknya mengenal pasti lima zon bencana banjir besar melibatkan 25 kampung di daerah berkenaan.

“Di kawasan Jalan Sekayu selama ini tak pernah banjir, ini kali pertama banjir dan situasinya agak serius sebab paras air sampai ke bumbung rumah penduduk kampung.

“Sebanyak 14 jalan utama terputus hubungan dan hanya boleh dilalui menggunakan bot termasuk ke Empangan Kenyir,” kata beliau.

Bencana di luar jangka itu menyebabkan penduduk keluar sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah atau menuju ke kawasan lebih tinggi di bukit berhampiran kampung sementara menunggu bantuan tiba.

Musibah banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini dan beberapa kawasan di pantai timur ketika ini perlu jadi iktibar kepada semua pihak agar lebih peka dan bersiap sedia.

Ini kerana saintis menjangkakan Malaysia berkemungkinan mengalami hujan yang lebih lebat dan kejadian banjir lebih banyak pada masa akan datang.

Justeru, rakyat perlu sentiasa bersedia walaupun kawasan yang mereka diami bukan kawasan berisiko banjir.

Sudah tiba masanya kita memandang serius untuk mengambil insurans bencana alam sebagai perlindungan agar kita mampu berdaya tahan sekiranya menjadi mangsa banjir.

Tidaklah nanti mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata kerana nilai kerosakan akibat bencana banjir bukan sedikit jumlahnya.

*Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian