Kesedaran nelayan guna PLB masih rendah: Maritim Malaysia

Kesedaran nelayan terhadap penggunaan PLB masih rendah kerana hanya 195 alat berkenaan didaftarkan dalam kalangan golongan berkenaan. - Gambar hiasan
Kesedaran nelayan terhadap penggunaan PLB masih rendah kerana hanya 195 alat berkenaan didaftarkan dalam kalangan golongan berkenaan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesedaran nelayan terhadap penggunaan Pengesan Lokasi Individu (PLB) boleh dianggap masih rendah kerana hanya 195 alat berkenaan didaftarkan dalam kalangan golongan itu di laman sesawang bim.mmea.gov.my yang dikendali Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Mengikut data yang diperoleh Bernama daripada Jabatan Perikanan, terdapat 48,826 vesel dan seramai 119,828 orang nelayan berlesen di seluruh negara setakat 2020 dan daripada jumlah itu hanya 2,480 dilengkapi dengan alat Sistem Pengesanan Automatik (AIS).

Angka itu jelas menunjukkan masih terdapat ramai nelayan tempatan tidak mengambil berat hal keselamatan di laut walaupun penggunaan alat berkenaan mampu memendekkan waktu pencarian oleh pasukan penyelamat sekiranya berlaku bencana.

Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Leftenan Maritim Mohamad Hasni Lizarus berkata, alat PLB yang menggunakan sistem teknologi satelit terkini mampu menyampaikan maklumat lokasi kecemasan yang tepat kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, kepantasan anggota penyelamat untuk tiba di lokasi amat penting kerana ia mampu menentukan nasib mangsa.

"Kedudukan kapal atau bot juga susah untuk ditentukan walaupun mangsa ada memberitahu kedudukan mereka kerana bot akan bergerak mengikut arus laut terutama ketika ribut atau angin kencang.

"Ditambah dengan situasi jika berlaku kecemasan di lokasi yang tidak mempunyai capaian talian komunikasi, penggunaan PLB ini sangat penting kerana dengan hanya menekan butang kecemasan isyarat akan terus dihantar ke Malaysia Mission Control Centre yang kemudian akan menggerakkan kerja carilamat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya pada tahun lepas APMM mengkoordinasikan 260 operasi Carilamat di laut iaitu 123 daripadanya melibatkan golongan nelayan dan tiada seorang daripada mereka mempunyai PLB.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jabatan Perikanan dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan pihaknya amat menggalakkan nelayan terutama nelayan tradisional untuk memiliki PLB sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan.

"Hanya kapal yang terlibat dengan pelayaran domestik diwajibkan mempunyai AIS, penggunaan AIS atau PLB ini tidak dimasukkan sebagai syarat lesen vesel nelayan tetapi pihak Jabatan Perikanan amat menggalakkan para nelayan memiliki alat ini," menurut kenyataan itu.

Jabatan Perikanan turut memberitahu pihaknya juga menyokong sekiranya terdapat persatuan-persatuan nelayan yang hendak membuat pembelian pukal alatan berkenaan bagi kegunaan ahli mereka berikutan harga alatan itu agak mahal.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, Jabatan Perikanan tetap menitikberatkan keselamatan nelayan dengan sumbangan alat-alat keselamatan seperti jaket keselamatan dan pelampung selain bilik pemantauan Jabatan Perikanan yang beroperasi 24 jam sehari. - Bernama