Calon MCA mahu atasi masalah pendidikan

Chee Siang (lima, berdiri kiri) beramah mesra dengan pasukan sepak takraw.
Chee Siang (lima, berdiri kiri) beramah mesra dengan pasukan sepak takraw.
A
A
A

BATU PAHAT- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Ong Chee Siang ingin mewujudkan Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Tangkak bagi menangani isu pengajian tinggi di kalangan belia.

Beliau berkata, jawatankuasa perundingan tersebut akan menggabungkan tenaga pelbagai entiti pendidikan bagi memajukan pendidikan serta memberikan khidmat perundingan dan bantuan kepada belia di Tangkak.

“Belia masa kini banyak membangkitkan masalah yang dihadapi dalam melanjutkan pelajaran, termasuk kos, bidang pengkhususan, peluang pengajian di luar negara serta masalah pengangguran.

“Justeru, saya melihat jawatankuasa perundingan ini adalah salah satu kaedah untuk menangani isu berbangkit.

“Jawatankuasa ini akan menumpukan kepada usaha membantu muda-mudi yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, termasuk mendapatkan biasiswa, dermasiswa dan pinjaman melalui pelbagai saluran bagi meringankan beban mereka dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, pengalaman berkhidmat selama lebih dua tahun di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membolehkannya memberikan khidmat perundingan yang bersesuaian.

“Mereka mengadu tidak mendapat bantuan berhubung isu berkenaan daripada ADUN Tangkak dari Pakatan Harapan (PH).

“Lebih malang, pandemik yang melanda telah mendatangkan pelbagai tekanan sehingga ada yang terpaksa berhenti atau melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Chee Siang, iklim politik yang tidak menentu semenjak PH mentadbir Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ditambah dengan keganasan pandemik serta pelbagai kesilapan dasar PH, secara langsung telah mempengaruhi sentimen pelabur sehingga ada yang beralih ke tempat lain, menyebabkan berlakunya masalah pengangguran.

Justeru, beliau menyeru kepada pemuda-pemudi Johor, terutamanya mereka yang bakal mengundi buat kali pertama, supaya keluar mengundi bagi memilih calon yang betul-betul memahami masalah mereka.

“Saya berjanji akan menjalankan tugas saya membetulkan pelbagai kepincangan dasar PH berhubung belia.

“Sekiranya BN diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Chee Siang berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan penduduk serta masa depan Tangkak,” jelasnya.