[VIDEO] Muda perlu banyak rundingan, bertolak ansur

Dr Maszlee (kiri) ketika Program Sinar Live Khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Rabu.
Dr Maszlee (kiri) ketika Program Sinar Live Khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Rabu.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu lebih banyak rundingan dan bertolak ansur dengan parti yang lebih senior.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, mereka perlu lebih banyak menimba pengalaman dan merendah diri terutama dalam politik.

Menurutnya, Muda perlu mencari titik seimbang ketika berhadapan dengan suasana yang lebih realistik berbanding bersikap idealisme.

"Saya mengucapkan kepada mereka 'good luck'.

"Walau bagaimanapun mungkin banyak lagi yang mereka perlu pelajari dan bersikap rendah diri dalam kita menimba pengalaman dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam politik.

"Tidak ada ruginya kita belajar merendahkan diri, menghormati dan juga bertolak ansur," katanya dalam Program Sinar Live Khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar selaku moderator.

Mengulas lanjut, Maszlee yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) PRN Johor itu berkata, Muda masih mempunyai perjalanan yang lebih panjang dan perlu diatur lebih bijaksana, dipenuhi dengan hikmah dan dengan pandangan berstrategik.

"Nama pun Muda perjalanannya lebih panjang jadi jangan awal-awal ini kita sudah menunjukkan sikap yang kurang disenangi dengan rakan-rakan politik yang lain kerana ia mungkin akan menjejaskan perjalanan yang lebih panjang itu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, fokus utama mereka seharusnya untuk memenangi negeri Johor dengan menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

"Jadi kita inginkan kalahkan kedua-dua ini dan perlu menang di banyak kerusi.

"Antara formula tersebut adalah mengurangkan penggeseran di antara pesaing di pihak selain daripada dua ini,

"Jadi mungkin titik tolak daripada itu saya kira bukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja tetapi banyak kenyataan daripada pimpinan PKR, malah Parti Amanah Negara (Amanah) turut melahirkan kekecewaan mereka dan saya boleh faham kenapa mereka boleh melahirkan perasaan seperti itu," jelasnya.