Pejuang, NGO buat laporan terhadap penerbitan buku 'Gay is ok'

Mohammad Hafiz (tiga dari kanan) bersama dua NGO membuat laporan polis di IPD Seremban pada Isnin.
Mohammad Hafiz (tiga dari kanan) bersama dua NGO membuat laporan polis di IPD Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 15 individu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Sembilan dan dua pertubuhan bukan kerajaan(NGO) membuat laporan polis berhubung penerbitan buku 'Gay is Okay! A Christian Perspective' di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada Isnin.

Dua NGO berkenaan ialah Pertubuhan Al Ehsan Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida) Negeri Sembilan.

Ketua Biro Kebajikan Pejuang Parlimen Seremban, Datuk Mohammad Hafiz Baharudin berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan memandang serius mengenai buku tersebut yang secara terang-terangan mempromosikan aktiviti songsang.

"Kami menolak sekeras-kerasnya buku ini kerana ia boleh memesongkan akhlak dan pemikiran masyarakat terutama golongan muda.

"Bahan bacaan sebegini perlu dihapuskan sebelum ia merebak dan menjadi virus di negara kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Seremban pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya demi agama bangsa dan negara.

Tambah beliau, tidak sepatutnya isu sebegitu dibiarkan di negara ini yang dikenali sebagai negara islam.

"Kita sedia maklum sudah pelbagai isu melibatkan golongan songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender(LGBT) yang mana ia sepatutnya disekat lebih awal sebelum merebak lebih jauh kepada generasi cucu-cucu kita nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku 'Gay is OK! A Christian Perspective' di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuat kuasa 27 November 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku tersebut, Ngeo Boon Lin dan penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin selaku pemohon telah menolak perintah larangan tersebut.

Menurut Hakim Noorin, perintah larangan tersebut tidak masuk akal kerana buku itu telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku terbabit.