Kumpulan terakhir rakyat Malaysia tiba di tanah air esok

Foto Facebook Ismail Sabri
Foto Facebook Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang berjaya dibawa keluar dari Kiev, Ukraine kini dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Menurut Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, kumpulan berkenaan dijangka tiba di Malaysia esok.

Selain itu katanya, atas dasar persahabatan dan diplomatik, Malaysia juga turut membantu membawa keluar seorang rakyat Singapura bersama rombongan negara ke Poland.

"Saya menghargai ucapan penghargaan dari Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, dalam laman Facebook rasmi mereka 'A friend in need’ dan kerajaan Malaysia juga sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara.

"Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Pada Ahad, Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang 'terkandas' di Ukraine dijadual berlepas pulang ke tanah air pada Isnin melalui penerbangan komersial.

Menurut kenyataan itu, kumpulan tersebut akan berlepas dari Warsaw selepas berjaya meninggalkan Kiev melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam berikutnya.

Ketibaan kumpulan tersebut di sempadan Poland sebelum itu dibantu oleh dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw iaitu Kuasa Usaha Sementara, Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua, Aminuddin Osman.

Artikel Berkaitan: