Ramadan bermakna buat peniaga bazar

Keputusan kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan pada tahun ini dilihat bertepatan sebagai usaha menjadikan landasan bagi peniaga menjana kembali pendapatan.
Keputusan kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan pada tahun ini dilihat bertepatan sebagai usaha menjadikan landasan bagi peniaga menjana kembali pendapatan.
A
A
A

KITA bakal menyambut Ramadan dalam tempoh sebulan sahaja lagi. Bagi semua lapisan masyarakat, setiap kali tibanya Ramadan sudah pasti bazar Ramadanlah yang paling dinantikan bermula dari hari pertama lagi.

Pelbagai juadah berbuka puasa boleh didapati dan ada juga juadah yang hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja. Bagi penulis pula juadah yang menjadi kegemaran adalah martabak singapura, tepung pelita dan air kelapa laut.

Bulan Ramadan bukan sahaja bulan yang penuh keberkatan, malah pada bulan ini juga, pintu rezeki dibuka seluasnya terutamanya bagi peniaga di bazar Ramadan.

Sebelum ini dilaporkan para peniaga bazar Ramadan meluahkan rasa bimbang mereka tidak boleh berniaga berikutan kes Covid-19 negara menunjukkan peningkatan yang mendadak baru-baru ini. Ramai peniaga kehilangan pendapatan sejak Covid-19 melanda negara.

Bagaimanapun para peniaga boleh menarik nafas lega dan diharap dapat meredakan kebimbangan mereka kerana walaupun pandemik Covid-19 masih menular, kerajaan telah memberi jaminan bahawa tiada lagi sekatan untuk bazar Ramadan beroperasi untuk tahun ini.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada tahun ini tidak akan ada lagi sekatan ekonomi yang dikenakan termasuk bazar Ramadan. Susulan itu kata beliau, prosedur operasi standard (SOP) serta langkah-langkah pelaksanaan bazar tersebut akan diteliti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diberitahu kepada umum kelak.

Rata-rata peniaga meluahkan rasa bersyukur atas keputusan kerajaan dan berharap SOP atau peraturan tertentu yang bakal diumumkan adalah bersesuaian agar dapat mewujudkan situasi menang-menang antara penganjur dan peniaga. Ia sebagai langkah berjaga-jaga supaya peniaga dapat mencari rezeki dan dalam waktu yang sama tidak berlaku penularan kes Covid-19. SOP tersebut diharap akan dikeluarkan seawal mungkin untuk memastikan kelancaran pelaksanaannya kelak.

Keputusan kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan pada tahun ini dilihat bertepatan sebagai usaha menjadikan landasan bagi peniaga menjana kembali pendapatan selepas terkesan disebabkan Covid-19. Diharap agar peluang berniaga di bazar Ramadan tahun ini dapat memberi sedikit sinar dan harapan bagi peniaga kecil bernafas.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berkata, graduan, suri rumah serta individu yang hilang pekerjaan disaran merebut peluang kecil ini untuk berniaga dalam skala kecil, namun mampu menjana pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, golongan terkesan disebabkan Covid-19 boleh meraih pendapatan sampingan dan pada masa sama meningkatkan semula ekonomi isi rumah.

Sementara itu, pengunjung turut dinasihatkan supaya tidak menjadikan bazar Ramadan sebagai tempat penularan Covid-19.

Mengambil contoh pada tahun 2021, terdapat lebih dari 20 bazar Ramadan yang terpaksa ditutup akibat penularan kes Covid-19. Antaranya bazar Ramadan di Kedah seperti di Baling dan Kupang. Begitu juga bazar Ramadan di Pahang seperti Lurah Semantan dan Temerloh Jaya. Dan juga bazar Ramadan di Kuala Lumpur seperti di Jalan Setiawangsa dan Jalan Raja Alang.

Walau apapun pembukaan bazar Ramadan bergantung pada situasi semasa Covid-19 dan arahan terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM). Penulis percaya pada tahun ini, bazar Ramadan akan lebih meriah berbanding tahun sebelum ini. Jadi kita perlu sama-sama mengambil inisiatif sendiri dalam mengawal penularan varian Omicron.

Penulis berharap pengunjung bazar Ramadan kelak dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya dengan mematuhi segala SOP yang bakal diumumkan. Jangan hanya bergantung kepada pihak berkuasa atau penguatkuasaan sahaja untuk mencegah penularan, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing termasuk peniaga dan orang ramai.

Adalah diyakini walaupun angka kes yang positif Covid-19 semakin meningkat kerana varian Omicron, tetapi keadaan tidaklah seteruk tahun lalu mahupun tahun sebelumnya. Ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia telah pun lengkap divaksinasi.

* Maznim Mohamad ialah Kurator Media Sosial Sinar Harian