Tindakan pantas tekong bot selamatkan mangsa bot karam

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Zawawi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Zawawi)
A
A
A

LANGKAWI -Tindakan pantas tekong bot berjaya menyelamatkan 18 mangsa termasuklah empat kru daripada lemas selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi, pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, tekong bot, Baseri Aziz, 55, melakukan usaha baik bagi menyelamatkan kesemua mangsa.

Beliau memberitahu, kesemua mangsa terapung dalam air dalam tempoh tujuh jam selepas bot pancing dinaiki mereka karam sebelum diselamatkan bot nelayan yang melalui lokasi kejadian.

"Tekong bot berkenaan memastikan pemancing berada pada jarak yang selamat dan turut melakukan ikatan antara pemancing bagi mengelakkan mereka hanyut ataupun terpisah daripada kumpulan pemancing.

"Alhamdulillah, kesemua 18 mangsa memakai jaket keselamatan yang berfungsi dengan baik,sekaligus membolehkan terapung dalam air sebelum mereka diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Pentadbiran Maritim Malaysia di Bukit Malut, di sini, pada Ahad.

Ujarnya, kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 55 tahun dipercayai berada dalam air selama tujuh hingga lapan jam sebelum diselamatkan bot nelayan yang berada di sekitar kawasan itu.

Tambah beliau, kejadian bot pancing membawa 18 pemancing yang karam merupakan kejadian paling besar untuk tahun ini.

"Untuk rekod, bot ini pernah mengalami kebocoran pada akhir tahun lepas di sekitar Pulau Beras Basah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika diminta mengulas status terkini mangsa, Mohd Zawawi memaklumkan seorang mangsa yang mengalami kecederaan sebelah tangan kiri masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, di sini.

"Berdasarkan pemeriksaan pihak hospital, seorang mangsa yang dikatakan patah kaki sebenarnya hanya mengalami kekejangan otot akibat berada lama dalam air namun dia telah dibenarkan keluar hospital," ujarnya.

Beliau menjelaskan, seramai 16 lagi mangsa bot karam berada dalam keadaan sihat dan mereka telah pulang ke rumah masing-masing.

Dalam perkembangan sama, katanya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau ataupun melakukan pemeriksaan bot terutamanya yang melakukan aktiviti memancing untuk memastikan segala keperluan untuk keluar ke laut dalam keadaan baik.

Beliau menasihatkan pemilik bot perlulah memeriksa tahap keselamatan, memakai jaket keselamatan dan penggunaan Pengesan Lokasi Individu (PLB).

"Sekiranya bot karam pada Sabtu ada PLB, ia dapat menjimatkan masa melakukan pencarian bot karam dan membantu mengesan tepat kedudukan mereka.Apa yang saya nampak, itu yang penting sekarang," katanya.

Sebelum ini, kesemua 18 pemancing termasuklah empat kru yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi, di sini, dilaporkan selamat.