'Tiada masalah tidak tampilkan ikon popular PH di PRN Johor'

Nurul Izzah (tengah) beramah mesra dengan orang ramai semasa melakukan 'walk about' di sebuah pasar raya besar di Kulai, pada Ahad.
Nurul Izzah (tengah) beramah mesra dengan orang ramai semasa melakukan 'walk about' di sebuah pasar raya besar di Kulai, pada Ahad.
A
A
A

KULAI - Pakatan Harapan (PH) tiada masalah tidak menampilkan ikon popular mereka untuk menarik pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata, meskipun dalam keadaan demikian, PH menampilkan gandingan calon baharu dan lama yang berwibawa untuk diketengahkan.

Katanya, apa yang lebih penting nama-nama ikonik dalam PH terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih lagi setia dengan perjuangan parti antaranya bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Alhamdulillah kami semua masih bersama-sama parti, saudara Rafizi, saya dan beberapa lagi yang lain, malahan hari ini kita juga ada calon-calon muda dan berwibawa.

"Jadi kita harus bina semula semangat dan menyatakan kita masih teguh bersama PKR. Apa yang penting ketika ini adalah untuk menumpukan kepada keberkesanan calon untuk menjadi wakil kepada rakyat di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan 'walk-about' menyantuni penduduk setempat di sebuah pasar raya besar di sini pada Ahad dengan diiringi Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden PKR itu menyambut baik tindakan parti-parti politik yang bertanding dalam PRN Johor kerana mengetengahkan ramai calon wanita.

"Bagi saya itu satu perkembangan yang baik, memang itu trend yang berlaku di seluruh dunia ketika ini, namun dalam masa sama kita mengupayakan wanita, kita juga perlu memastikan calon-calon lelaki cakna akan kepentingan dan peranan wanita.

Artikel Berkaitan:

"Ini seharusnya berlaku bukan sahaja di peringkat pembuat keputusan tetapi juga melibatkan golongan wanita di pelbagai segmen masyarakat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perjuangan PKR yang ditubuhkan pada 1999 masih belum selesai dan pihaknya memerlukan suara perwakilan lebih utuh dalam mencari solusi kepada permasalahan dihadapi rakyat dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.

"PKR ditubuhkan pada 1999, ini Hanya sebahagian daripada sejarah panjang parti ini. Alhamdulilah dan kerana itu juga saya berada di sini hari ini (berkempen untuk Pilihan Raya Negeri)," ujarnya.