KLN kesal laporan proses evakuasi tidak berasas

Laporan Sinar Harian mengenai rakyat Malaysia yang selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland.
Laporan Sinar Harian mengenai rakyat Malaysia yang selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) kesal dengan beberapa laporan media yang menggunakan tajuk sensasi, tidak berasas dan menyimpang daripada situasi sebenar berhubung pelaksanaan misi evakuasi rakyat Malaysia di Ukraine.

Kementerian itu dalam kenyataan pada Ahad menjelaskan, Kedutaan Besar Malaysia di Kiev mempunyai Pelan Evakuasi yang sedia diaktifkan selain sentiasa dikemaskini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa termasuk opsyen terbaik bagi pelaksanaannya.

“Keputusan pelaksanaan misi evakuasi dibuat berdasarkan laporan mutakhir daripada kedutaan Malaysia yang berkenaan.

“KLN sentiasa memantau perkembangan di Ukraine dan telah berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di sana sehingga ke peringkat komunikasi terus oleh Menteri Luar dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan tersebut.

“Perkembangan penting turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri dari masa ke masa,” kata kenyataan itu.

Portal South China Morning Post sebelum ini melaporkan, diplomat Malaysia yang terkandas di Kiev didakwa dalam perjalanan ke negara jiran, Poland melalui jalan darat selepas tidak berjaya menyelamatkan diri apabila tentera Rusia menghampiri ibu negara Ukraine.

Menurut portal itu, kesemua mereka bertindak demikian kerana bas yang disewa tidak tiba.

Mengulas lanjut kementerian itu memaklumkan, pergerakan membawa pulang rakyat Malaysia dari Ukraine dan maklumat sensitif seperti pelan evakuasi tidak didedahkan kepada umum bagi menjaga keselamatan semua pihak yang terlibat dalam misi itu.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu menambah, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Dakwaan seperti pegawai kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) evakuasi dan sebagainya yang telah dimuatkan dalam laporan media dan media sosial sama sekali tidak berasas.

“Empat buah kereta termasuk dua kenderaan kedutaan digunakan dalam pelaksanaan misi evakuasi ini. Penggunaan kenderaan kecil dan bukannya bas mengambil kira bilangan yang terlibat dalam misi ini dan bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini hanya beberapa kedutaan asing yang telah menggantung operasi di Keiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine.

"Operasi Kedutaan Besar Malaysia sana terpaksa digantung sementara ekoran dua pegawai Kedutaan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan misi evakuasi ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah melalui hantaran di Facebook pada Ahad mengesahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kiev selamat tiba di sempadan Ukraine dan Poland, Korczowa-Krakovets.