Penyelia ladang rugi lebih RM39,000 kena tipu

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang penyelia ladang kerugian lebih RM39,000 selepas menyertai pelaburan bitcoin tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi Telegram, pada Rabu lalu.

Mangsa berusia 24 tahun ditawarkan pelan pelaburan serendah RM500 namun dijanjikan pulangan RM7,000 sehingga mendorongnya menyertai pelaburan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa syak ditipu apabila wang pelaburannya dikatakan tiada dalam sistem dan perlu membayar sejumlah wang untuk meneruskan pelaburan tersebut.

Menurut Mohd Wazir, nasib malang menimpa mangsa itu bermula selepas akaun Telegram miliknya menyertai kumpulan pelaburan tersebut.

"Selepas melihat perbualan dan perkongsian ahli kumpulan berhubung pelaburan itu, mangsa berminat untuk menyertainya dengan memilih pakej asas berharga RM500.

"Mangsa yang dijanjikan keuntungan sehingga RM7,000 segera membuat bayaran deposit pelaburan berjumlah RM500 melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki pada hari sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Wazir berkata,selepas bayaran itu dibuat, mangsa diberitahu pakej asas telah penuh dan dia perlu membuat bayaran untuk mendapatkan pakej lain dengan peluang keuntungan lebih besar.

"Teruja dengan keuntungan besar yang dijanjikan, mangsa setuju untuk mendapatkan pakej lain dengan membuat bayaran melalui lima transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga Jumaat lalu, mangsa telah membuat lima kali pembayaran antara RM1,500 hingga RM19,831 dengan jumlah keseluruhan RM39,069," katanya.

Beliau berkata, mangsa mula curiga dan syak ditipu selepas menerima panggilan daripada seorang 'ejen' pelaburan itu memintanya membuat sejumlah bayaran dengan alasan salah satu transaksi dibuat pada Khamis berjumlah RM19,831 tiada dalam sistem.

"Mangsa tidak membuat bayaran seperti diminta sebaliknya membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Sabtu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis sedang mengenal pasti empat lelaki pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.