Peningkatan kes Covid-19 jejas pelancongan di Perak

Nolee Ashilin (kanan) melihat kawasan Tasik Cermin selepas menyempurnakan perasmian Prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh, pada Sabtu.
Nolee Ashilin (kanan) melihat kawasan Tasik Cermin selepas menyempurnakan perasmian Prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh, pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Peningkatan kes Covid-19 ketika ini memberi kesan kepada industri pelancongan di Perak.

Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, orang ramai mulai bimbang untuk keluar rumah termasuk pergi melancong disebabkan penularan wabak tersebut.

Menurutnya, mereka mengambil langkah waspada terutama mereka yang mempunyai anak kecil memandangkan ramai kanak-kanak masih belum menerima vaksin.

"Jadi saya lihat ini akan membawa sedikit impak dari segi kekurangan pelancong yang masuk jika kita bandingkan sewaktu tempoh cuti sekolah pada Disember tahun lalu.

"Kami jangka pengurangan dari segi jumlah pelawat ini namun masih belum ada jumlah sebenar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, walaupun tiada jumlah dilaporkan tetapi pasti mereka yang dikuarantin atau kontak rapat terpaksa menangguhkan tempahan hotel.

Sementara itu, mengenai pembukaan Pulau Sembilan di Bagan Datuk, Nolee Ashilin berkata, sehingga kini lokasi pelancongan itu belum dibuka sepenuhnya.

Menurut Nolee Ashilin, pelancong tidak dibenarkan turun ke pulau tersebut dan hanya lawatan di atas air yang dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Masih tidak dapat kebenaran untuk membuka Pulau Sembilan untuk pelancong mendarat. Lawatan di atas air dan sebagainya masih diteruskan.

"Aambil pendekatan untuk mengadakan rehabilitasi di atas pulau sepenuhnya sebelum membukanya kepada orang awam," katanya.

Tambah beliau, tempoh pembukaan sepenuhnya pulau tersebut tidak ditentukan lagi sehingga kini.