MEF beri amaran pekerja boleh dikenakan tindakan buang kerja

Syed Hussain
Syed Hussain
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memberi amaran kepada semua pekerja bahawa tindakan disiplin melibatkan pembuangan kerja boleh dikenakan terhadap mereka yang memberi maklumat palsu berhubung status jangkitan Covid-19.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, tindakan pekerja yang sengaja melaporkan dirinya positif Covid-19 dengan tujuan mahu bercuti merupakan satu kesalahan besar kerana memperjudikan keselamatan dan kesihatan awam pekerja lain.

“Majikan perlu memaklumkan kepada semua pekerja bahawa sekiranya mereka memberi maklumat palsu, maka mereka boleh dikenakan tindakan disiplin dan majikan berhak untuk melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.

“Ia juga dikira menipu jika tiada jangkitan Covid-19 tetapi melaporkan sebaliknya hanya untuk mengelak daripada datang bekerja.

“Sudah tentu majikan boleh mengenakan tindakan disiplin sewajarnya kepada pelaku kesalahan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, majikan disaran supaya menjalankan prosedur dalaman seperti ujian RTK yang mana dibuat di klinik atau tempat kerja dan ia dilakukan oleh mereka yang terlatih.

Selain itu, menurutnya, majikan juga boleh meminta pekerja merakamkan proses ujian yang dibuat dan rakaman tersebut perlu dihantar kepada pihak bahagian sumber manusia majikan sebagai rekod.

“Satu lagi alternatif majikan boleh sediakan bilik yang sesuai untuk pekerja menjalankan ujian sambil disaksikan oleh saksi atau wakil daripada Jabatan Sumber Manusia syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah-kaedah dinyatakan ini dapat mengurangkan salah guna dan penipuan yang mungkin timbul dari prosedur laporan ujian RTK yang baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, para pekerja hendaklah sentiasa berlaku jujur dan bersama-sama membantu untuk memerangi pandemik Covid-19.