Penamatan rangkaian 3G dilanjutkan sehingga Mac

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penamatan rangkaian 3G secara berperingkat telah dilanjutkan sehingga akhir Mac tahun ini berbanding pada Disember 2021, seperti yang digariskan dalam Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, 79 peratus daripada 2.1 juta pelanggan rangkaian 3G atau kira-kira 1.66 juta telah beralih daripada rangkaian itu pada Disember 2021, manakala 80 peratus pengguna 3G atau 203,374 telah menamatkan rangkaian berkenaan.

"Baki 440,852 atau 21 peratus pelanggan telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai tarikh penamatan itu. Mereka akan menunggu sehingga semua pembawa 3G ditamatkan sebelum beralih kepada 4G.

"Mengenai kelewatan sebanyak 50,486 atau 20 peratus daripada pengguna 3G, (ia) disebabkan musim banjir dan monsun,” katanya pada taklimat secara maya Laporan Jendela bagi suku keempat 2021, hari ini.

Fadhlullah Suhaimi berkata, penamatan itu telah diputuskan di bawah pelan Jendela berikutan jumlah infrastruktur dan tahap spektrum yang diperlukan untuk menyokong rangkaian 4G adalah tinggi.

Katanya, ia turut didorong oleh trend tingkah laku pengguna semasa yang lebih cenderung kepada penggunaan data yang lebih sesuai dengan 4G, berbanding suara iaitu 3G.

"Memang diakui, cabaran awal akan sentiasa ada apabila (rangkaian mudah alih) ditamatkan, namun, jumlahnya tidak besar. Sehubungan itu, kami akan sentiasa memfokuskan untuk memacu penambahbaikan liputan 4G,” katanya.

Beliau berkata, antara Januari dan Disember 2021, MCMC mencatatkan keseluruhan 200,675 aduan rangkaian dengan kebimbangan utama pengadu adalah melibatkan kualiti perkhidmatan 4G.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Johor Bahru merekodkan aduan tertinggi, diikuti Petaling, Seremban, Kuala Lumpur dan Klang.

"Jendela akan terus mengoptimumkan liputan 4G dan telah menaik taraf 2,661 menara komunikasi dan menyiapkan pembangunan 86 tapak menara baharu daripada lima daerah yang melaporkan aduan tertinggi.

"Sehingga September 2021, sebanyak 94.03 peratus daripada kawasan berpenduduk telah diberikan liputan 4G dengan 1,189 menara 4G baharu yang sedang dibina. Pada masa yang sama, sebanyak 1.89 juta premis baharu telah dilengkapi dengan liputan fiber obtik," katanya.

Bagaimanapun Fadhlullah Suhaimi menjelaskan, aduan mengenai liputan rangkaian didapati berterusan terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak dan menurutnya, masalah itu perlu ditangani.

"MCMC akan melaksanakan audit kualiti 4G di setiap negeri di Malaysia dan laporan ini akan didedahkan kepada umum. Penyedia perkhidmatan juga akan dimaklumkan mengenai prestasi rangkaian dan penambahbaikan yang diperlukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 6.85 premis telah menerima Internet pada kelajuan 37.30 Mbps setakat 31 Disember, 2021, sekali gus melebihi sasaran Jendela pada 2021 iaitu 6.5 juta premis dengan 30 Mbps.

Melangkah ke 2022, Fadhlullah Suhaimi berkata, melalui sasaran kesalinghubungan fiber Jendela, sebanyak 652,101 premis disasarkan mempunyai sambungan fiber bagi meningkatkan liputan 4G di kawasan berpenduduk, manakala 1,661 tapak 4G baharu akan turut dibina.

"Pengembangan 5G akan turut dilaksanakan di bandar-bandar besar seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak,” katanya.- Bernama