MFL lunas hutang JDT secara berperingkat

Ab Ghani - Foto Bernama
Ab Ghani - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menjelaskan badan itu dalam proses melunaskan 'hutang' kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) secara berperingkat dan dijangka selesai tahun ini.

Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan memberitahu, penangguhan pembayaran wang kemenangan pada musim 2020 itu telah dipersetujui oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Tunku Ismail memahami kekangan kewangan MFL yang kehilangan wang tajaan kira-kira RM30 juta akibat pandemik Covid-19.

“MFL telah melakukan pembayaran secara berperingkat dan kini dalam proses akhir menyelesaikan baki pembayaran wang kemenangan itu tahun ini," katanya di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurutnya, selain JDT, MFL tiada sebarang tunggakan dengan pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim tersebut.

“Bagaimanapun penangguhan pembayaran bagi musim itu hanya melibatkan JDT sahaja di mana MFL tidak ada sebarang tunggakan dengan pasukan lain,” katanya.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini berharap denda susulan tindakan penyokong membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim selepas aksi JDT dapat ditolak daripada hutang lama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan pasukan itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Tunku Ismail yang sedar skuad Harimau Selatan itu berdepan hukuman denda apabila tiga kali membakar suar dalam saingan Liga Super.

Penyokong JDT dilaporkan membakar suar selepas perlawanan dan ia melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun menafikan badan induk itu berhutang dengan JDT.

Sebaliknya beliau menjelaskan kemungkinan MFL yang masih berhutang dengan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu melibatkan wang kemenangan.