Pesara, anak diserang kumpulan lelaki kerana pulas telinga remaja

Seorang pesara dan anak lelakinya cedera apabila diserang sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh pada Khamis.
Seorang pesara dan anak lelakinya cedera apabila diserang sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh pada Khamis.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang pesara berusia 54 tahun dan anak lelakinya cedera apabila diserang sekumpulan lelaki menggunakan kayu, besi dan parang akibat tindakannya memulas telinga anak saudara salah seorang suspek, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa dan anak lelakinya berusia 22 tahun baru sahaja sampai di rumah mereka di Kampung Wakaf Lanas, di sini.

"Selepas mangsa turun daripada kereta, sekumpulan lelaki terus menyerang mangsa dan anaknya dengan menggunakan kayu, besi dan parang.

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di seluruh tubuhnya dan anaknya mengalami kecederaan di bahagian jari kaki kelengkeng, jari tangan dan seluruh tubuh," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang bertindak memulas telinga anak saudara salah seorang suspek yang menyerangnya.

Beliau berkata, mangsa dikatakan bertindak sedemikian kerana berang dengan tindakan remaja berusia 14 tahun itu yang menunggang motosikal sambil membuat bising di hadapan rumahnya.

"Semasa kejadian, abang ipar mangsa kebetulan berada di situ turut membantu meleraikan pertelingkahan, namun didakwa turut dipukul dengan menggunakan kayu.

"Menurut mangsa, dia tidak mengenali semua suspek tersebut memandangkan mereka bukan berasal dari kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas memukul pengadu dan anaknya, kumpulan lelaki tersebut terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna merah dan beberapa buah motosikal," katanya.

Ediansha berkata, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa dan abang iparnya cuma mengalami kecederaan ringan pada bahagian tubuh.

Bagaimanapun katanya, anak mangsa dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berikutan kecederaan parah pada jari kaki kelengkengnya yang hampir putus akibat ditetak menggunakan pedang.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat suspek yang terlibat dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.