Sempat libas parang selamatkan diri selepas diterkam beruang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Zawawi Ismail (dua dari kiri) melawat Al Amin Ratna Shariman (dua dari kanan) di kediaman remaja itu di Kampung Lerek, Kuala Berang, Hulu Terengganu. - Foto ihsan Facebook DUN Telemung - Cikgu Awi
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Zawawi Ismail (dua dari kiri) melawat Al Amin Ratna Shariman (dua dari kanan) di kediaman remaja itu di Kampung Lerek, Kuala Berang, Hulu Terengganu. - Foto ihsan Facebook DUN Telemung - Cikgu Awi
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang remaja sempat menyelamatkan diri dengan melibas parang selepas diterkam seekor beruang dalam kejadian di kebun durian milik bapanya di Kampung Lerek, di sini petang Khamis.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan mangsa, Al Amin Ratna Shariman Alias, 18, cedera di bahagian kepala.

Abangnya, Aweh Zulkurnain, 22, berkata, adiknya keluar ke kebun itu seorang diri dengan menaiki motosikal sebelum berhenti di bahu jalan dan berjalan kaki kira-kira satu kilometer.

"Ketika sedang berjalan dia terkejut apabila melihat seekor beruang sedang makan durian. Waktu itu jarak antara adik saya dengan beruang itu hanya beberapa meter.

"Adik saya cepat-cepat lari dan cuba bersembunyi di sebalik sebatang pokok, malangnya beruang itu tiba-tiba menyerangnya," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, sebaik diterkam, adiknya sempat melibas parang ke arah beruang itu dan cuba menyelamatkan diri.

"Dalam keadaan genting itu, dia turut rebah akibat terkena cakaran beruang sebelum binatang itu melarikan diri.

"Kami semua lega sebab dia terselamat. Boleh dikatakan ini pengalaman bersejarah dan kali pertama dialami keluarga kami sepanjang lebih 20 tahun kebun durian itu diusahakan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini kelibat haiwan itu telah beberapa kali dilihat oleh penduduk di sekitar kawasan itu, namun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Dah banyak kali penduduk kampung terserempak dengan beruang itu namun ia terus melarikan diri tanpa menyerang penduduk.

"Saya rasa mungkin beruang tu bertindak agresif sebab terkejut nampak kelibat adik saya," katanya.

Aweh Zulkurnain memberitahu, adiknya di hantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) dan menerima beberapa jahitan pada bahagian kepala.