PICKids: Sabah, Terengganu, Kelantan paling rendah

Dr Noor Azmi (duduk dari kanan) memberi suntikan vaksin kepada Che Wan Dhabit Hazim, 11 (duduk dari kiri) yang ditemani ibunya, Mazlin Zainal Abidin, 49 (berdiri dari kiri) pada PICKids di Sekolah Kebangsaan Wira Kuantan pada Jumaat. - Foto Bernama
Dr Noor Azmi (duduk dari kanan) memberi suntikan vaksin kepada Che Wan Dhabit Hazim, 11 (duduk dari kiri) yang ditemani ibunya, Mazlin Zainal Abidin, 49 (berdiri dari kiri) pada PICKids di Sekolah Kebangsaan Wira Kuantan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Tiga negeri merekodkan kurang 10 peratus kadar suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) iaitu Sabah, Terengganu dan Kelantan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, antara sebab jumlah pendaftaran bagi program itu masih rendah adalah kerana ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat selain bimbang dengan kesan sampingan vaksin berkenaan terhadap anak mereka.

"Kita harap ibu bapa segera beri kebenaran untuk anak mereka dapatkan vaksin dan usaha meningkatkan bilangan kanak-kanak untuk menerima vaksin sedang giat dijalankan,” katanya pada sidang media selepas meninjau PICKids di Sekolah Kebangsaan Wira di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Dr Noor Azmi berkata, hanya 58 kanak-kanak dilaporkan mengalami kesan sampingan selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids setakat Rabu lepas.

PICKids menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun menerima vaksin Covid-19 dan sebanyak 708,187 individu atau 19.9 peratus populasi itu telah menerima dos pertama vaksin mereka setakat semalam.

Selain itu, beliau memaklumkan bagi kanak-kanak orang asli di Pahang, program 'outreach' telah dilaksanakan sebagai langkah membantu mereka mendapatkan vaksin Covid-19.

"Anak Orang Asli tidak terpinggir daripada menerima suntikan, saya dimaklumkan lebih 700 kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang, Lipis telah menerima suntikan vaksin pada minggu lepas, dan Pahang mempunyai 18 pasukan 'outreach' untuk digerakkan ke lokasi-lokasi di pedalaman," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi berkata, siasatan masih dijalankan susulan dakwaan berlaku kecuaian di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kelantan ketika Muhammad Hilman Firdaus, bayi lelaki berusia dua bulan mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, media melaporkan keluarga bayi itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan. - Bernama