383 mangsa banjir dipindahkan di Terengganu

Antara kawasan dinaiki air di daerah Kemaman. - Foto ihsan Facebook ADUN Chukai
Antara kawasan dinaiki air di daerah Kemaman. - Foto ihsan Facebook ADUN Chukai
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 383 mangsa banjir daripada 114 buah keluarga mula dipindahkan di lapan buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman dan Setiu pada Jumaat susulan hujan lebat yang berterusan sejak malam Khamis.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga jam 2 petang, seramai 345 mangsa daripada 100 buah keluarga ditempatkan di tujuh buah PPS di Kemaman yang mula diaktifkan jam 8.45 pagi.

"Antara PPS terlibat ialah di Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Balai Raya Padang Kubu, Masjid Kampung Dadong, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Balai Raya Padang Kemunting.

"Sebuah lagi PPS iaitu di PPS SK Air Putih menempatkan tujuh mangsa daripada dua buah keluarga yang menjalani tempoh kuarantin Covid-19," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu katanya, sebuah PPS di daerah Setiu iaitu di Balai Raya Kampung Hulu Seladang dibuka jam 11.30 pagi tadi bagi menempatkan 38 mangsa banjir daripada 14 buah keluarga.

Jelas kenyataan tersebut, keadaan semasa cuaca di Terengganu hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan.

Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, sehingga jam 1.30 petang, 10 stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya.

Antara stesen terlibat ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Empangan Tembat di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Sungai Chalok dan Sungai Setiu.

Artikel Berkaitan: