Empat daerah di Terengganu diramal banjir

Jalan Air Putih di Kemaman mula dinaiki air pada Jumaat. - Foto ihsan pembaca
Jalan Air Putih di Kemaman mula dinaiki air pada Jumaat. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat daerah di Terengganu iaitu Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu diramal banjir susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Jumaat.

Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, hujan lebat berterusan menyebabkan peningkatan paras air di beberapa lembangan sungai antaranya Sungai Kemaman, Sungai Besut, Sungai Terengganu dan Sungai Setiu yang akan menyebabkan beberapa kawasan rendah berdekatan berisiko dinaiki air.

Katanya, antara kawasan berisiko dinaiki air di Kemaman ialah Kampung Bukit Mentok, Kampung Sungai Pinang manakala bagi daerah Besut, kawasan dijangka dinaiki air di Kampung Keruak, Kampung Belaoh, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka, Kampung Gong Gunchil, Kampung La, Kampung Lampu dan kawasan rendah sekitarnya.

Selain itu, kawasan dijangka terjejas di daerah Setiu pula melibatkan Kampung Langkap, Kampung Pelong, Kampung Pengkalan Merbau, Kampung Merbau Menyusup, Kampung Bukit Nyior, Kampung Hulu Seladang, Kampung Besut, Kampung Padang, Kampung Lendut Tok Nab, Kampung Che Long, Teluk Rekam, Kampung Buluh Hulu, Kampung Chalok Kedai, Kampung Gong Terap, Kampung Lubok Panjang dan kawasan sekitarnya.

Jelas kenyataan tersebut, di daerah Hulu Terengganu, kawasan dijangka terjejas ialah Kampung Kuala Ping, Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior, Kampung Bukit Tadok, Kampung Kolam, Kampung Tok Rebuk Ajil, Kampung Tok Randok, Kampung Lebuk Periuk, Kampung Kemat, Kampung Pengkalan Ajal, PPSK Gunung Menerong, Kampung Kepah, Kampung Tok Lawit dan kawasan rendah sekitarnya.

Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, sebanyak 10 stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya sehingga jam 12.30 tengah hari tadi.

Antara stesen terlibat ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Empangan Tembat di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Sungai Chalok dan Sungai Setiu.

Sehubungan itu, orang ramai terutama yang tinggal di lokasi diramal dilanda banjir diminta sentiasa berwaspada.

Artikel Berkaitan: