[VIDEO] Penduduk Lembah Klang rasai gegaran gempa Indonesia

Gegaran turut dirasai di bangunan Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Gegaran turut dirasai di bangunan Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penduduk di sekitar Lembah Klang khususnya yang berada di bangunan tinggi dikejutkan dengan gegaran di beberapa kawasan susulan kejadian gempa bumi berskala 6.2 magnitud di Bukit Tinggi, Indonesia.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar kompleks pentadbiran kerajaan di sini mendapati kakitangan awam keluar mengosongkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Mazlan Abd Mutalib ketika ditemui berkata, gegaran dapat dirasai dari aras tertinggi iaitu tingkat 37 sehingga ke bawah.

"Arahan dikeluarkan agar semua kakitangan segera mengosongkan bangunan sehingga keadaan dipastikan selamat," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, beberapa prosedur perlu dipatuhi bagi memastikan kesemua pegawai dan kakitangan awam berada dalam keadaan selamat.

"Apabila sudah berada di tempat selamat, kita akan ambil kehadiran setiap orang bagi memastikan semua berada di luar bangunan," katanya.

Menceritakan detik-detik gegaran yang berlaku, beliau berkata, keadaan ketika itu sedikit panik.

"Memang panik sebab ramai yang bertanya adakah berlaku gegaran.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri terasa seperti apa yang berlaku di Jepun ( bergoyang) dan setelah dipastikan terdapat gegaran, pengosongan bangunan terus dibuat," katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Saidatul Indahan Sulaiman berkata, dia berasa pening selepas merasai gegaran selama lima hingga 10 saat.

"Gegaran berlaku ketika saya sedang bermesyuarat, boleh nampak botol air mineral pun bergoyang," katanya.

Imran Ariff Mohd Amin yang kali pertama berdepan dengan situasi itu berkata, dia sedang dalam persidangan secara maya (online conferencing) di tingkat 29.

"Semasa persidangan itu, ada peserta dari Shah Alam dan Damansara beritahu benda sama (gegaran), jadi saya terus turun menggunakan tangga," katanya.

Menurutnya, sebaik berada dalam keadaan selamat, dia menghubungi isterinya yang berada di Pulau Pinang.

"Dia pun cakap ada rasa gegaran juga, jadi ini bukan benda kecil," katanya.

Sementara itu, di media sosial pula, warga maya yang berada di sekitar Lembah Klang turut menyatakan kejadian sama dialami mereka.

Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisikal Indonesia (BMKG) melaporkan kejadian gempa bumi sederhana dengan kedalaman 10 kilometer berlaku di 65 kilometer daripada Bukit Tinggi, jam 8.39 pagi waktu tempatan.