[VIDEO] Penduduk tak sabar berpindah ke rumah baharu

Penempatan di Kampung Nelayan Benut yang sering berdepan ancaman air pasang besar. Gambar kecil: Bachok, Hamisah, Mohd Fairus
Penempatan di Kampung Nelayan Benut yang sering berdepan ancaman air pasang besar. Gambar kecil: Bachok, Hamisah, Mohd Fairus
A
A
A

PONTIAN - Penduduk Kampung Nelayan Benut yang bakal berpindah ke Projek Pemajuan Kawasan (PPK) di Kampung Parit Makuaseng, Benut teruja melihat kemudahan rumah baharu yang disediakan selepas hampir 10 tahun menunggu.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur, malah ada yang tidak sabar lagi untuk mendiami rumah baharu itu berikutan pengurangan 80 peratus bayaran premium tanah oleh kerajaan negeri.

Pengurangan bayaran premium tanah itu disifatkan amat membantu 163 bakal penghuni yang rata-ratanya merupakan warga emas dan golongan nelayan.

Seorang penduduk, Bachok Salim, 79, berkata, fenomena air pasang besar yang kerap melanda kawasan itu menyebabkan kerosakan pada struktur lantai rumahnya.

Menurutnya, sejak mendiami Kampung Nelayan Benut pada tahun 1961, dia bersama lima orang anaknya sentiasa berharap dapat berpindah ke penempatan baharu yang lebih selesa.

"Pada tahun 2010, saya dapat surat tawaran dan tersenarai dalam program penempatan semula tersebut. Saya amat berharap agar dapat dipindahkan segera.

"Saya sekeluarga sudah tidak tahan dengan kerosakan rumah kesan daripada air pasang besar yang kerap berlaku, memandangkan rumah terletak berdekatan sungai. Banyak kali rumah dibaiki tetapi tetapi lantai akan rosak bila air pasang berlaku," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Penduduk Kampung Nelayan Benut berharap dapat berpindah ke PPK Kampung Parit Makuaseng Benut.
Penduduk Kampung Nelayan Benut berharap dapat berpindah ke PPK Kampung Parit Makuaseng Benut.

Difahamkan setiap pemilik rumah dikenakan bayaran premium antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung keluasan kawasan rumah masing-masing.

Pada 28 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pengurangan 80 peratus bayaran premium tanah daripada RM2 juta kepada RM1.6 juta ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pontian.

Projek pembangunan di atas tanah kerajaan negeri milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor dengan keluasan 12.14 hektar itu bermula sejak 16 Mei 2017 dan siap pada Ogos 2022 sebagai penempatan semula mangsa banjir dan air pasang besar.

Seorang lagi penduduk, Hamisah Abd Karim, 74, juga berharap agar dapat dipindahkan segera memandangkan PPK di Kampung Parit Makuaseng sudah siap.

"Air pasang besar yang kerap berlaku pada penghujung tahun merupakan masalah utama penduduk di sini sebab itu kami perlu dipindahkan segera ke penempatan yang baharu.

"Lepas air pasang berlaku, struktur rumah akan rosak dan perlu dibaiki. Memang tak tahan kerana asyik perlu keluarkan wang untuk baiki rumah," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Fairus Seng, 35, pula berharap pengumuman pengurangan bayaran premium tanah yang dibuat kerajaan dapat menamatkan penantian penduduk yang mahu segera berpindah ke rumah baharu mereka.

"Apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri membuat pengumuman tentang pengurangan 80 peratus itu, kami harap berita gembira seterusnya menyusul.

"Kami mahukan tarikh sebenar penduduk dapat berpindah dan memulakan kehidupan lebih selesa di kediaman baharu kelak," katanya.