PRN Johor: Beberapa 'kerusi panas' bakal menjadi tumpuan

Antara 'kerusi panas' yang bakal menjadi tumpuan termasuklah DUN Bukit Kepong.
Antara 'kerusi panas' yang bakal menjadi tumpuan termasuklah DUN Bukit Kepong.
A
A
A

JOHOR BAHRU -Parti politik utama yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah mengumumkan calon masing-masing pada Khamis, yang bakal menyaksikan pertembungan sengit di beberapa 'kerusi panas' Dewan Undangan Negeri (DUN).

Barisan Nasional (BN) bakal menampilkan lebih 70 peratus muka baharu di 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan UMNO menampilkan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor ini pula mempertaruhkan 41 muka baharu dan mengekalkan 15 calon yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

Calon-calon PN terdiri daripada 33 wakil Bersatu, Pas (15) dan Gerakan (lapan).

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula mempertaruhkan 42 calon bagi PRN Johor, dengan 54 peratus daripada mereka terdiri daripada calon berusia di bawah 50 tahun, termasuk calon termuda berumur 26 tahun.

Antara 'kerusi panas' yang bakal menjadi tumpuan termasuklah DUN Bukit Kepong yang bakal menyaksikan bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada PN, yang akan bertembung dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed daripada BN, selain calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Nurafiqah M Zulkifli dan Md Taib Md Suhut (Pejuang).

DUN Machap pula bakal menyaksikan pertembungan antara Ahli Parlimen Sri Gading dan Ketua Pejuang Johor Datuk Dr Sharuddin Md Salleh, dengan bekas Exco kerajaan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN) selain pengetua Sekolah Menengah Agama Arab Almasriyah Azlisham Azahar (PN) dan R. Sangaran (MUDA).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN itu menyaksikan penyandangnya Abd Taib Abu Bakar dari UMNO hanya menang dengan majoriti 404 undi ke atas Ahmad Ahem (PH-Bersatu) dan Azlisham (Pas).

Artikel Berkaitan:

Manakala di DUN Kempas, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan bakal bertembung dengan Nornekman Osman daripada Pejuang, yang merupakan anak sulung kepada ADUN Kempas dan bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Persaingan di DUN yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru itu turut menyaksikan penyertaan daripada UMNO, yang menampilkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramlee Bohani (BN), manakala PN pula meletakkan Nur Faizal Abdullah sebagai calonnya.

Kerusi DUN Larkin pula akan menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Muda dengan Rasid Abu Bakar daripada Muda, bakal bertembung dengan calon PKR Dr Zamil Najwah Arbain, selain Ketua Pemuda UMNO Johor Hairi Md Shah, bekas wartawan dan setiausaha akhbar Zulkifli Bujang (PN), serta Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).

Manakala di DUN Benut pula, Pengerusi BN Johor dan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad bakal ditentang oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Isa Ab Hamid (PN), Ahli Majlis Pimpinan PKR Johor Haniff @ Ghazali Hosman dan Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang).

Turut dijangka menjadi tumpuan pada PRN Johor kali ini adalah kerusi-kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti kurang 500 undi pada PRU14 lalu iaitu, Pemanis (PH-PKR dengan 363 undi), Sungai Balang (BN-UMNO, 174 undi), Semerah (PH-PKR, 98 undi) dan Layang-Layang (BN-UMNO, 364 undi). - Bernama