PRN Kedah: Agihan kerusi hampir dimuktamadkan - Ahmad Zahid

 Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

BALING - Proses pengagihan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah sudah hampir dimuktamadkan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi.

"Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi itu untuk (PRN) negeri Kedah.

"Lain-lain negeri (perkembangan agihan kerusi) apabila saya berada di negeri berkenaan," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Program Walkbout Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Desa Keda Sadek di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengadakan beberapa siri perbincangan berkaitan isu peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.

"Ia akan dimuktamadkan dan pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada peruntukan itu akan diteruskan, beliau memberitahu, kerajaan pada peringkat awal telah bersetuju untuk perbelanjaan pentadbiran.