PN pertaruh 41 muka baharu

Muhyiddin mengadakan sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 pada Khamis. - Foto Bernama
Muhyiddin mengadakan sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) mempertaruh 41 muka baharu sebagai calon gabungan politik itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN yang bakal bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya mengekalkan 15 calon yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau berkata, calon parti Bersatu adalah seramai 33 orang manakala Pas 15 dan Gerakan (lapan), dengan 50 daripadanya adalah lelaki.

"Calon paling muda berusia 31 tahun... jadi usia yang muda itu agak lebih ramai berbanding yang lain. Saya anggap ini adalah satu pasukan yang kuat, ada pengalaman dan berkelayakan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Memperkenal Calon PN PRN Johor di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Presiden Bersatu itu berkata, calon PN adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu usahawan, ahli perniagaan, bekas guru, pensyarah, peguam, akauntan dan pengamal perubatan.

Antara muka baharu yang ditampilkan oleh PN ialah Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri iaitu Zulkifli Bujang yang dicalonkan di DUN Larkin manakala bekas pemain bola sepak Johor, Mohd Faizal Asmar pula dicalonkan bagi kerusi DUN Penawar.

Penyandang DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut diumum mempertahan kerusi itu manakala Senator Datuk Isa Ab Hamid dicalon untuk bertanding di DUN Benut.

Mengenai calon Menteri Besar bagi PN, Muhyiddin berkata, kemungkinan besar individu tersebut adalah daripada Bersatu namun pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat pada masa yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, PN akan melancarkan manifesto bagi PRN Johor pada 1 Mac ini.

Pada Rabu, Muhyiddin berkata, PN akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang selain memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti dan mewujudkan peluang pekerjaan. - Bernama