Program Podium: Serap semula atlet ‘tersisih’

Pekan Ramli
Pekan Ramli
A
A
A

PENGGIAT sukan Malaysia menyambut baik pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan peruntukan RM240 juta bagi pelaksanaan Program Podium bermula 2022 hingga 2025.

Pemerhati sukan tanah air, Dr Pekan Ramli berkata, pengumuman itu secara tidak langsung mampu memberikan sinar baharu kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA) dalam mempersiapkan atlet negara.

Malah, beliau percaya ia mampu membangkitkan semangat buat barisan atlet negara bagi menghadapi tiga temasya besar tahun ini iaitu Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

“Peruntukan itu sudah semestinya diharapkan semua pihak yang terlibat. Sebab ia satu perkara yang pelik sebelum ini, mengapa tiada peruntukan untuk mereka, walhal kita ada tiga temasya besar tahun ini.

“Saya percaya pengumuman tersebut akan membangkitkan kembali semangat atlet dan NSA untuk mereka beri fokus serta tumpuan kepada persiapan bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.

“Kalau tidak, mereka dalam keadaan tak menentu. Jadi, saya harap atlet yang ditamatkan kontrak sebelum ini dapat diserapkan semula dalam Program Podium,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Rabu, Ahmad Faizal memaklumkan kabinet bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM240 juta bermula pada tahun ini sehingga 2025 dengan perbelanjaan RM60 juta setahun.

Susulan keputusan tersebut, Ahmad Faizal berkata, kementeriannya akan mengkaji semula penyertaan atlet yang sebelum ini ditamatkan kontrak.

Artikel Berkaitan:

Pekan turut mencadangkan agar diwujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada setiap NSA sebagai penanda aras bagi membantu Majlis Sukan Negara (MSN) mengagihkan dana dengan lebih berhemah.

“Setiap NSA perlu ada KPI sendiri. Jika mereka tidak capai KPI ditetapkan, pihak yang terlibat boleh ambil tindakan untuk menyekat pemberian dana dan beri kepada yang persatuan lebih cemerlang.

“Dengan adanya KPI berkenaan, NSA tidak boleh buat keputusan sesuka hati kerana sudah tentu ia akan memakan diri mereka semula jika gagal mencapai KPI.

“Dengan cara itu, mereka akan ada rasa lebih tanggungjawab melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia yang mampu bertanding di peringkat antarabangsa,” jelasnya.