200 nelayan pantai diancam pencemaran sisa lumpur

Nelayan pantai Teluk Bahang menunjukkan pukat yang rosak.
Nelayan pantai Teluk Bahang menunjukkan pukat yang rosak.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 200 nelayan pantai diancam pencemaran sisa lumpur sejak setahun lalu yang berlaku di perairan Teluk Bahang di sini.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris berkata, masalah tersebut dilihat berlarutan dan kini semakin kerap berlaku serta mengancam kehidupan nelayan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa pihak berkuasa termasuk Kerajaan Pulau Pinang untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

"Kita juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut menjalankan siasatan bagi mengatasi pencemaran sisa lumpur di perairan Teluk Bahang ketika ini.

Nelayan pantai Teluk Bahang menunjukkan pukat yang rosak diancam lumpur.
Nelayan pantai Teluk Bahang menunjukkan pukat yang rosak diancam lumpur.

"Menurut nelayan terlibat, masalah itu dipercayai berpunca dari tindakan kapal pengangkut sisa lumpur dari tapak projek penambakan laut di Persiaran Gurney. Kapal itu dipercayai telah membuang bahan itu ketika dalam perjalanan ke Pulau Kendi," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Tambahnya, selain lumpur, terdapat bahan buangan lain seperti sisa kayu dan besi melekat pada pukat nelayan menyebabkan ia rosak.

"Nelayan yang terlibat telah mengalami kerugian antara RM300 hingga RM7,000 setiap seorang. Difahamkan, sumber tangkapan utama seperti ikan dan udang di kawasan tersebut mula berkurangan. Ia menyebabkan hasil tangkapan mereka (nelayan) merosot melebihi 50 peratus setiap kali pencemaran ini berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kami meminta Jabatan Perikanan Pulau Pinang mengadakan perjumpaan dengan nelayan terlibat bagi membincangkan masalah ini dan masa depan mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut," katanya.

Mohamed berkata, nelayan terlibat perlu mendapat bantuan atau pampasan sewajarnya berikutan kerugian yang dialaminya itu.