Geng Gurun aktif pecah rumah tumpas

Mohd Zaidi menunjukkan pistol yang dirampas dipercayai dicuri dalam kegiatan pecah rumah di salah sebuah rumah mewah di Kota Kinabalu pada sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu pada Khamis.
Mohd Zaidi menunjukkan pistol yang dirampas dipercayai dicuri dalam kegiatan pecah rumah di salah sebuah rumah mewah di Kota Kinabalu pada sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Polis berjaya menumpaskan 'Geng Gurun' yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu dan beberapa daerah lain sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, seramai empat suspek berjaya ditahan pada awal bulan ini termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Gurun.

Katanya, semua suspek berusia antara 32 hingga 64 tahun itu berjaya dikesan hasil daripada siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa sebelum ini.

"Geng Gurun ini adalah kumpulan yang paling aktif melakukan pecah rumah di Kota Kinabalu yang diketuai seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua lelaki warga asing dan lapan warga tempatan.

"Geng ini telah melakukan 19 kes pecah rumah di Kota Kinabalu termasuk dua kes kecurian peti besi dan satu pistol selain turut terlibat dalam tiga kes pecah rumah di Tuaran, dua kes masing-masing di Kota Marudu dan Penampang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada Khamis.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan barangan yang dicuri termasuk barangan kemas, komputer riba, beg berjenama dan barangan berharga lain mencecah sehingga RM520,000.

"Hasil soal siasatan daripada tangkapan membawa kepada rampasan barang kes di kedai pajak gadai di Kota Kinabalu, Kota Belud dan di rumah suspek.

"Selain itu, rampasan juga berjaya dibuat daripada dua suspek yang membeli barangan curi berkenaan iaitu di Ampang, Selangor dan jumlah keseluruhan barangan rampasan adalah sebanyak RM200,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, modus operandi kumpulan jenayah itu adalah dengan membuat pemerhatian terhadap rumah-rumah mewah di sekitar Kota Kinabalu yang dijadikan sasaran untuk dipecah masuk.

"Apabila mereka yakin rumah itu tiada penghuni, mereka akan masuk dengan melompat pagar dan membuka atau mengumpil pintu dan tingkap rumah yang disasarkan.

"Barang-barang berharga itu kemudian dijual di kedai pajak gadai di Kota Kinabalu dan Kota Belud selain dihantar kepada pembeli barang-barang curi di Ampang," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek mempunyai kesalahan lampau antara empat hingga 10 kes pecah rumah, kes samun, memiliki dan salah guna dadah selain ada yang pernah dijatuhkan hukuman atau sedang dalam proses perbicaraan.

Sebelum itu, Mohd Zaidi memaklumkan enam lagi ahli geng berkenaan masih diburu dan orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat berhubung ahli yang masih bebas untuk tindakan selanjutnya.