Untung bersih Apex Healthcare Berhad melonjak kepada RM20.7 juta

Dr Kee Kirk Chin
Dr Kee Kirk Chin
A
A
A

SHAH ALAM - Keuntungan bersih Apex Healthcare Berhad melonjak kepada RM20.7 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM14.39 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun sebelumnya.

Ini menjadikan perolehan meningkat sebanyak 44.2 peratus.

Hasil suku tahunan juga meningkat kepada 22 peratus iaitu sebanyak RM197.66 juta berbanding RM161.58 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Mengulas mengenai prestasi kewangan syarikat farmaseutikal tersebut, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Apex Healthcare, Dr Kee Kirk Chin berkata, pihaknya mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan disebabkan peningkatan permintaan pasaran untuk farmaseutikal, produk penjagaan kesihatan pengguna dan peranti perubatan.

“Sejak Covid-19 melanda negara, rangkaian produk utama pasaran kami ialah ubat batuk dan selesema.

“Kemudian sebagai produk tambahan, kami turut menyediakan pelitup muka, 'hand sanitizer' (cecair pensanitasi tangan), termometer, kit ujian pantas antigen dan oksimeter,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Kirk Chin berkata, pihaknya turut menjalankan kontrak pembuatan peranti ortopedik dan instrumen pembedahan untuk syarikat multinasional global.

Katanya, rangkaian pengedaran komprehensifnya meliputi lebih daripada 14,500 hospital, farmasi, klinik dan pusat perubatan di Malaysia dan Singapura dengan memanfaatkan lapan gudang yang terletak di kedua-dua negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kami telah mengedar dan mengeksport produk ke 18 pasaran antarabangsa, termasuk Hong Kong, Jepun, Australia dan beberapa buah negara di Asia Tenggara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mengekalkan pertumbuhan perniagaan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

“Sewaktu melangkah masuk ke tahun 2022, Apex Healthcare menumpukan kepada tiga aspek utama antaranya mengembangkan bahagian pasaran produk farmaseutikal dan penjagaan kesihatan pengguna selain merebut peluang pasaran melalui bekalan produk serta memanfaatkan prospek untuk perkongsian pembuatan kontrak baharu.

“Walaupun wabak Covid-19 akan memberikan pelbagai cabaran seperti gangguan bekalan bahan mentah, kos pengangkutan yang tinggi serta kemunculan varian baharu, tetapi kami tetap teguh dan optimis terhadap prospek pertumbuhan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Lembaga Pengarah di syarikat farmaseutikal itu turut mencadangkan dividen akhir sebanyak tiga sen sesaham bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 serta dividen khas sebanyak enam sen sesaham sempena ulang tahun ke-60 penubuhan Apex Healthcare.

“Dividen yang dicadangkan akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.

"Sehingga 31 Disember 2021, modal pasaran Apex Healthcare berjumlah RM1.28 bilion,” katanya.