Himpunan ICERD: Polis adakan mesyuarat dengan MKN

Datuk Seri Mazlan Lazim. - Foto Bernama
Datuk Seri Mazlan Lazim. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan isu perhimpunan kesyukuran kerana kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Dikriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mesyuarat berkenaan akan diadakan esok di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berkenaaan.

“Saya akan adakan sidang media pada jam 1 petang esok mengenai perhimpunan ICERD selepas mesyuarat bersama MKN dan agensi-agensi luar," katanya pada sidang media selepas membuat kunjungan ke pusat membeli-belah Aeon di Kepong, di sini, sempena program kepolisan moden berprofil tinggi.

Ia akan disertai oleh agensi penguatkuasa lain dan pasukan keselamatan negara antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Semalam, DBKL membenarkan perhimpunan ‘kesyukuran’ itu di Jalan Raja, di sini, pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya hanya membenarkan penganjur menggunakan Jalan Raja sahaja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari jam 2 petang hingga 6 petang.

DBKL telah menerima permohonan daripada penganjur yang terdiri daripada Muafakat (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), Ummah (Gerakan Pembela Ummah) dan Daulat (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) sahaja pada 27 November lepas.

Pas dan Umno akan turut serta dalam perhimpunan itu yang menurut mereka akan menyaksikan kehadiran 500,000 orang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan DBKL berhubung memendekkan waktu operasi pusat hiburan di ibu negara, Mazlan berkata beliau menyokong cadangan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


"Saya mengalu-alukannya sebab lebih mudah kami mengawal pusat hiburan dan saya sokong sepenuhnya premis berkenaan untuk tutup operasi pada jam 1 pagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan cadangan DBKL memendekkan waktu operasi pusat hiburan akan dikemukakan kepada Kementerian Wilayah dalam masa terdekat.

Nor Hisham berkata pihaknya akan mengesyorkan supaya premis-premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan beroperasi hanya sehingga jam 1 pagi. - Bernama