Polis siap siaga pembukaan sempadan Malaysia-Thailand

Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Shafien Mamat
Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Shafien Mamat
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) siap siaga jika sempadan Malaysia-Thailand dibuka susulan pengumuman Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada Selasa berkenaan proses perangkaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan berada di tahap akhir.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal dari segi penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang di sempadan negeri tersebut.

"Kita tahu sempadan Kelantan ini agak luas dan kita ada sempadan darat, laut dan Sungai Golok.

"Jadi waktu ini kita dibantu unit-unit khas dan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"PGA ini ada dua tugas iaitu yang pertama buat sekatan jalan raya dan kedua kawalan sempadan untuk mengelakkan penyeludupan dadah dan migran," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam fasa akhir untuk memuktamadkan SOP berkaitan sebelum pembukaan sempadan negara yang dijangka pada suku kedua akan datang.

Mengulas lanjut, Shafien memberitahu, penggunaan unit-unit khas termasuk unit dron, unit berkuda dan unit anjing pengesan (K9) akan mempertingkatkan keupayaan PDRM dalam pengawalan sempadan.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (empat dari kanan) dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (empat dari kiri) bergambar bersama rombongan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kelantan diketuai Pengerusinya, Datin Zairihan Che Harun sejurus kunjungan hormat di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (empat dari kanan) dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (empat dari kiri) bergambar bersama rombongan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kelantan diketuai Pengerusinya, Datin Zairihan Che Harun sejurus kunjungan hormat di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

"Setelah berbincang dengan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman,Datuk Hazani Ghazali, kita akan tingkatkan kawalan sempadan dengan penggunaan unit-unit baharu.

"Beberapa ujian dron telah dilaksanakan dan saya cadangkan gunakan dron sedia ada yang digunakan untuk pemantauan jenayah di Kelantan jika tiada tugasan kita akan guna untuk pemantauan sempadan," katanya.

Pada masa sama, beliau yakin bahawa pemantauan dan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu berada di tahap terbaik.

Menurutnya, kawasan tersebut lebih mudah untuk dikawal kerana terdapat pagar di sekeliling premis dan kawalan keselamatan turut dibantu oleh pihak Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

"Kawalan di lapangan terbang lebih ketat sebenarnya kerana kita hanya ada satu pintu masuk dan keluar berbanding sempadan laut serta darat,'' jelasnya.