'Sita rumah RM41.8 juta dibeli untuk bekas kekasih Leissner'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meminta kerajaan supaya mengambil tindakan undang-undang termasuk menyita atau menyaman pemilik rumah bernilai RM41.8 juta yang dipercayai dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan daripada pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York pada Isnin berkaitan pembelian sebuah rumah di London pada 2013 untuk kekasihnya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pengakuan Leissner itu perlu disiasat segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara.

“Jika benar dana 1MDB telah disalahguna untuk membeli rumah buat Rohana, maka rumah atau wang tersebut wajib dikembalikan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Leissner memberikan keterangan tersebut semasa menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Menerusi keterangan yang dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan bahawa pembelian rumah untuk Rohana itu dibuat selepas dia diugut oleh kekasih sulitnya itu untuk didedahkan berkenaan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Leissner turut memaklumkan di mahkamah bahawa hubungan bersama Rohana itu terjalin bermula 2003 hingga 2013.

Leissner pada 2018 telah mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang telah disita.

Sehingga kini, akaun amanah tersebut di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara dan telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita serta dipulangkan berkaitan 1MDB.