Trump berang dituduh punca serangan Christchurch

Trump mendakwa beliau menjadi mangsa keadaan dan menuduh media memanipulasikan serangan pengganas di New Zealand.
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa beliau menjadi mangsa keadaan dan menuduh media memanipulasikan serangan pengganas di New Zealand sehingga dirinya dipersalahkan berhubung kejadian itu.

Ironinya, Trump sering mengeluarkan kenyataan anti-pendatang dan dilihat membela golongan nasionalis kulit putih seperti kejadian rempuhan di Charlottesville yang mengorbankan satu nyawa pada 2017.

Dalam kejadian minggu lalu, pengganas kulit putih Brenton Tarrant melepaskan tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurh yang mengorbankan 50 nyawa.

Sebelum insiden tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, Tarrant memuat naik manifesto setebal 73 muka surat mengandungi alasan serangan itu dilakukan.

Malah, Tarrant merujuk Trump sebagai simbol baru identiti kulit putih.

“Media Berita Palsu bekerja lebih masa untuk menyalahkan saya berhubung serangan dahsyat di New Zealand,” kata Trump.

Beliau bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila meremehkan implikasi ideologi pengganas itu dengan menyatakan pelampau kulit putih bukan ancaman global.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan bertali arus daripada Demokrat yang mendakwa presiden itu menghantar isyarat salah.

Demokrat berkata Trump seharusnya memberi kenyataan jelas menentang apa dianggap ramai pakar bebas berhubung peningkatan keganasan oleh nasionalis kulit putih yang menyasarkan orang Islam, pendatang dan minoriti lain. – Agensi