Penggunaan plastik global pada 2020 turun 2.2 peratus

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan plastik global pada 2020 dianggarkan merosot sekitar 10 juta tan (Mt) atau 2.2 peratus, iaitu 4.5 peratus di bawah unjuran pra Covid-19, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Menurut laporan Tinjauan Plastik Global OECD yang dikeluarkan pada Selasa, pengurangan itu jauh lebih kecil daripada penurunan dalam keseluruhan aktiviti ekonomi, dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar global tahunan menurun kepada -3.5 peratus pada 2020 daripada +4.0 peratus pada 2019.

Ketua Bahagian Alam Sekitar dan Integrasi Ekonomi OECD, Shardul Agrawala berkata, peningkatan penggunaan peralatan perlindungan peribadi dan plastik sekali guna telah memburukkan lagi sampah plastik di darat dan di persekitaran marin, dengan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

"Sebagai contoh, penggunaan plastik untuk topeng muka dan peralatan perlindungan peribadi lain dianggarkan sekitar 300 kilo tan, iaitu kurang daripada 0.1 peratus jumlah penggunaan plastik pada 2020,” katanya semasa taklimat media secara maya pada Selasa.

Beliau berkata, apabila ekonomi melonjak, penggunaan plastik diunjurkan akan meningkat semula, membawa kepada pertumbuhan baharu sisa plastik dan tekanan alam sekitar yang berkaitan.

Agrawala berkata, OECD telah mengenal pasti empat langkah untuk mengurangkan kesan plastik terhadap alam sekitar, iaitu kitar semula, inovasi teknologi untuk lebih banyak rantaian nilai plastik kitaran, langkah dasar domestik yang lebih koheren dan bercita-cita tinggi serta memperhebatkan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan harus meningkatkan inovasi untuk lebih banyak kitaran hayat plastik yang boleh dikitarkan semula, sambil menambah bahawa lebih banyak dasar yang bercita-cita tinggi diperlukan, termasuk gabungan pelaburan dalam inovasi dan campur tangan yang bertujuan meningkatkan permintaan untuk penyelesaian kitaran sambil mengekang penggunaan plastik secara keseluruhan.

"Dengan memperkukuh kerjasama antarabangsa, ada kemungkinan untuk menjadikan rantaian nilai plastik berkitar dan mencapai sifar ketirisan plastik bersih.

Artikel Berkaitan:

"Sokongan antarabangsa dan kepimpinan politik tempatan akan menjadi penting untuk meletakkan rangka kerja dasar dan mekanisme tadbir urus yang menyediakan tahap pembiayaan yang mencukupi dan mampan," tambahnya. - Bernama