Pokok tumbang: MPSepang tidak pernah lepas tangan

Operasi pembersihan di 14 kawasan insiden sudah dijalankan bermula aduan diterima pada petang Isnin
Operasi pembersihan di 14 kawasan insiden sudah dijalankan bermula aduan diterima pada petang Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak pernah lepas tangan terhadap isu membabitkan pokok-pokok besar di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, setiap pokok sentiasa dipantau malah ditebang mengikut jadual terutama membabitkan pokok yang berusia dan kestabilannya meragukan.

“Tindakan dilakukan dengan mengikut jadual ditetapkan antaranya termasuk menjalankan kerja-kerja penebangan dan mencantas bagi merendahkan ketinggian pokok," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau mengulas saranan penduduk yang berharap pihak MPSepang dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian pokok tumbang akibat ribut kuat pada Isnin berulang di masa akan datang.

Pada Isnin, kira-kira 19 buah kenderaan di 14 kawasan sekitar Dengkil rosak selepas 56 pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat antara jam 4 hingga 5.30 petang itu.

Antara kawasan terlibat ialah Pusat Komersil Cybervalley, Taman Baiduri, Taman Emas, Jalan 1, 4, 6, 8 di Taman Gemilang, Sekolah Kebangsaan Cina Dengkil, Klinik Kesihatan Dengkil dan Meranti Jaya 1 di Puchong.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Namun tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan," kata Norazam dalam kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abd Hamid turut memaklumkan operasi pembersihan di 14 kawasan insiden sudah dijalankan bermula aduan diterima pada petang Isnin dan selesai sepenuhnya pada Selasa.

"Pihak MPSepang sudah mengambil tindakan sewajarnya dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai pokok yang berusia dan kestabilannya meragukan di kawasan ini untuk tindakan lanjut.

"Ini kerana kejadian bencana alam sukar diramal namun kita mampu untuk mengurangkan kerosakan dengan mengambil langkah berjaga-jaga sejak dari awal," katanya.